Feri Batang Lupar yang membawa kenderaan dan penumpang bersedia untuk menyeberangi Sungai Batang Lupar ketika tinjauan fotoBernama di Pangkalan Feri Sebuyau di sini. -Gambar Bernama
KUCHING: Rangkaian jalan pesisir dari Kuching ke Sibu yang merentas beberapa sungai dan anak sungai, pastinya membawa pengalaman unik kepada pemandu yang perlu menempuh bukan sahaja jambatan, tetapi juga perkhidmatan feri untuk tiba ke destinasi akhir.
Paling tidak di sepanjang perjalanan kira-kira 320 kilometer (km) itu pemandu perlu menaiki feri di dua pengkalan iaitu di Triso dan Pusa sebagai jalan pintas ke Sibu dengan merentasi pemandangan indah Taman Negara Meludam.
Namun pengalaman ini perlu disulam dengan kesabaran tinggi untuk menunggu giliran dalam deretan kenderaan panjang sebelum menaiki tanjakan ke dalam feri terutama bagi pengguna kerap, sudah tentu satu kesulitan.
Ini terutamanya ketika hujung minggu serta air pasang bergelora sehingga menyukarkan operasi feri yang seterusnya meningkatkan lagi tempoh menunggu dan mengganggu perjalanan ke destinasi yang hendak dituju.
Bagaimanapun, kebimbangan ini bakal dikurangkan melalui projek penambahbaikan rangkaian jalan itu termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar yang dijadual siap tiga tahun lagi dan beroperasi penuh tahun 2025, sekali gus membuka lembaran baharu buat kawasan pesisir Sarawak.
Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek pembinaan jalan pesisir Sarawak secara keseluruhan dari Kuching terus ke Miri sepanjang 896km termasuk pembinaan jambatan Batang Lupar membabitkan kos kira-kira RM5 bilion.
Beliau berkata setelah siap kelak jambatan Batang Lupar yang bernilai RM848 juta itu juga akan menjadi antara jambatan terpanjang di Malaysia sepanjang tujuh km merentasi sungai dari Triso di Meludam ke Sebuyau.
“Projek pembinaan jambatan ini adalah berdasarkan perjanjian (dengan kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional sebelum ini). Peruntukan kos pembinaan adalah 50-50 (separuh ditanggung kerajaan Persekutuan dan separuh lagi kerajaan negeri).
“Namun setelah pertukaran kerajaan (semasa kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini)…kami (kerajaan negeri) tetap meneruskan dengan (menggunakan) peruntukan sendiri,” katanya semasa majlis pecah tanah projek pembinaan jambatan itu Mac lepas.
Terletak di Sebuyau kira-kira 111km dari Kuching, Jambatan Batang Lupar itu juga bakal menggantikan perkhidmatan feri bagi menyeberangi Sungai Batang Lupar dari Sebuyau ke Triso.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Sarawak Datuk Julaihi Narawai berkata projek pembinaan jambatan itu sudah mula dilaksanakan dan kontraktor projek kini sedang menjalankan kerja-kerja peringkat awal termasuk menimbus tapak dan melakukan penyiasatan tanah.
Projek pembinaan jalan pesisir adalah idea daripada Ketua Menteri Sarawak kelima Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan telah dipersetujui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Projek pembinaan jalan pesisir turut melibatkan pembinaan tujuh jambatan, antaranya jambatan Kuala Kemena Batang Saribas, Sungai Krian dan Batang Paloh yang akan menghubungkan wilayah selatan dan utara negeri ini, khususnya di kawasan pesisir Sarawak. - BERNAMA
utusanborneo.com.my/2021/11/21
|