Kenderaan mangsa yang remuk dibawa keluar dari semak di Jalan Miri Bypass Vista Perdana pada Sabtu lalu.
MIRI: Seorang wanita warga emas maut sementara tiga cedera parah dalam kemalangan di Jalan Miri Bypass Vista Perdana pada Sabtu lalu.
Mangsa, 81, berasal dari Baram disahkan meninggal dunia di hospital semasa menerima rawatan susulan kecederaan yang dialaminya.
Kereta yang dinaiki mangsa turut membawa dua warga emas lain berusia 71 tahun (perempuan) yang mengalami patah rahang, patah kaki kiri, pendarahan di otak dan di bahagian mata dan seorang lagi berusia 84 tahun (lelaki) mengalami patah kedua-dua tulang rusuk.
Sementara pemandu, 52 tahun (lelaki) yang turut berasal dari Baram mengalami patah pinggul.
Kes disahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Alexson Naga Chabu.
Kejadian dilaporkan sekitar jam 4.50 petang ketika mangsa dalam perjalanan menuju Marina Square.
"Semasa sampai di jalan Miri Bypass Vista Perdana, pemandu gagal mengawal kenderaan disyaki kelajuan yang tinggi lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan dari arah bertentangan," jelas Alexson.
Kenderaan mangsa terbabas ke tepi jalan sebelah kanan dan masuk ke dalam semak.
Kesemua mereka tersepit dalam kenderaan dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
Pemandu kereta yang dilanggar tidak mengalami kecederaan dan kenderaan hanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
Beliau dimaklumkan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia di hospital pada petang kelmarin (21 November).
Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2021/11/22
|