SIBU: Ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi mengumumkan peletakan jawatannya dalam parti itu, berkuat kuasa pada Khamis lepas.
Surat rasmi peletakan jawatannya yang berkuat kuasa serta-merta itu diserahkan kepada Presiden PSB, Dato Sri Wong Soon Koh bertarikh 18 November 2021.
Aditajaya ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini mengesahkan kesahihan surat yang tular menerusi media sosial sejak Ahad (21 Nov).
Beliau berkata, akan mengadakan sidang media khas dalam masa terdekat bagi mengulas lebih lanjut mengenai keputusan beliau itu.
Sementara itu, Aditajaya menerusi surat peletakan jawatannya menyatakan pendirian beliau yang tidak bersetuju dengan terma dan syarat yang dikenakan oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkaitan kempen untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12).
Atas alasan itu beliau meletak jawatan serta menarik balik pencalonannya sebagai wakil PSB dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang.
"Saya dipaksa, tetapi menolak apabila saya diminta menandatangani perjanjian dengan syarikat peminjam wang untuk membiayai kempen (PRN12) saya.
"Ini akan merosakkan reputasi saya di kalangan pengundi yang dikasihi. Ia bertentangan dengan ajaran Islam yang saya anuti jika saya menandatangani perjanjian tersebut," katanya menerusi surat berkenaan.
Bagaimanapun, Aditajaya menafikan peletakan jawatannya sebagai satu pengkhianatan terhadap PSB.
"Saya mohon jangan anggap peletakan jawatan saya sebagai pengkhianatan kepada parti kerana saya telah bekerja keras, melabur banyak wang, masa, tenaga dan usaha untuk membawa PSB seperti sekarang di kawasan saya," katanya mengahiri surat tersebut.
Sementara itu, Aditajaya yang juga bekas Timbalan Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mula menyertai PSB pada November 2020 lalu bersama-sama dengan bekas Ketua Cabang PKR Sibu Abdul Raafidin Majidi.
Dilaporkan, penyertaannya bersama PSB pada masa itu turut disusuli dengan penyertaan lebih 6,000 orang ahli.
utusanborneo.com.my/2021/11/22
|