KUCHING: Ketua Menteri dijadsualkan melakukan upacara pecah tanah Jambatan Sujngai Sarawak, Sejingkat dan Projek Jalan Raya Kedua Kuching-Samarahan pagi ini.
Upacara itu akan berlangsung di Pekarangan Tapak Projek Jambatan Sejingkat berhampiran Demak di sini.
Jambatan ini akan menghubungkan Sejingkat ke kawasan Tanjung Bako di sini.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi pada Mei lalu dipetik berkata oleh media, projek Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat menelan kos kira-kira RM370 juta.
Ia merupakan jajaran baharu lebuh raya Samarahan-Kuching dan dijangka siap pada 2025.
Pembinaan jambatan sepanjang 1.3 kilometer itu telah bermula Januari lalu.
Jambatan itu ialah komponen bagi jajaran baharu yang merupakan jajaran kedua Expressway (lebuh raya) Samarahan-Kuching.
Projek itu dipercayai mampu menyelesaikan masalah kesesakan di laluan yang sedia ada yang dialami oleh pemandu dari Kota Samarahan-Kuching dan sebaliknya terutamanya pada waktu puncak.
Projek ini dilihat sebagai usaha mewujudkan sistem perhubungan yang lebih baik kepada rakyat di negeri ini khususnya di kawasan terlibat.
Semua 10 jambatan yang menghubungkan kawasan pesisir dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
sarawakvoice.com/2021/11/21
|