|
Lelaki itu dedenda kerana memainkan lagu James Blunt tanpa henti. - NurPhoto via Getty Images
Lelaki didakwa di mahkamah kerana ganggu jiran dengan lagu ‘You’re Beautiful’
LONDON – Seorang lelaki dari Devon diarahkan untuk membayar wang berjumlah lebih £1,400 (RM 7,874) sebagai pampasan kepada jirannya kerana menjadikan hidup mereka sengsara selepas sering memainkan lagu James Blunt dengan kuat tanpa henti, lapor akhbar Daily Star.
Mark Carey dilaporkan sering memainkan lagu berjudul ‘You’re Beautiful’ nyanyian Blunt sehingga menyebabkan jiran berhampiran rumahnya sukar untuk tidur serta mengalami tekanan, kelesuan dan kebimbangan.
Bagaimanapun, apabila mereka pergi ke rumahnya untuk menyuarakan isu tersebut, mereka dituduh melakukan ‘penderaan’.
Kes itu dibicarakan di Mahkamah Majistret Plymouth pada 15 November lalu. Mahkamah mengarahkannya membayar lebih £1,400 (RM 7,874) sebagai pampasan kepada jirannya.
Pegawai Kesihatan Alam Sekitar turut memperoleh waran serta merampas tiga buah televisyen, pembesar suara dan peralatan muzik lain dari rumahnya.
Majistret mendapati bahawa Carey bersalah kerana melanggar Notis Perlindungan Komuniti dan didenda sebanyak £660 (RM 3,712).
Dia turut diarah membayar kos sebanyak £699.70 (RM 3,766) dan caj tambahan kepada mangsa sebanyak £66 (RM 371). – AGENSI
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2021/11 ... gu-youre-beautiful/
|
|