KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya mengambil beberapa tindakan segera bagi menangani gangguan bekalan air yang menimbulkan kemarahan penduduk di Universiti Utama Condominium (UUC), Telipok.
Menterinya Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, ia termasuk melaksanakan penghantaran air ke kawasan terjejas 24 jam sehari sehingga kerja pembaikan pam di Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 1, Tuaran siap sepenuhnya yang dijangka dalam tempoh 10 hari bermula semalam.
"Tindakan itu hanya untuk jangka pendek bagi menyelesaikan segera masalah dihadapi penduduk.
"Tindakan susulan juga akan dibuat berdasarkan kajian dan bengkel mengenai isu air di Sabah, terutama di kawasan yang dikenal pasti berdepan masalah serius," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, isu masalah bekalan air di beberapa kawasan yang terlibat amat serius, perkara ini berlaku sejak beberapa tahun yang lalu dan pada ketika ini ia amat ketara sekali.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, penghantaran bekalan air ke kawasan perumahan terjejas sudah dilaksanakan sejak 6 November lalu, namun kekerapan penghantaran sebelum ini dilihat tidak dapat menampung keperluan pengguna.
Selain itu katanya, Kementerian Kerja Raya turut mengarahkan pengendali LRA Telibong 1, Jetama Sdn Bhd untuk menambah lori penghantaran air bagi meningkatkan bekalan air kepada pengguna di UUC dan Universiti Condo Apartment (UCA) 2.
"Bagi UUC, sebanyak 4.5 juta liter sehari (MLD) diperlukan untuk memenuhkan tangki imbangan dan 4.9 MLD untuk tangki simpanan, manakala di UCA 2 sebanyak 2.8 MLD diperlukan untuk tangki imbangan dan 5.5 MLD bagi tangki simpanan.
"Perkhidmatan lori penghantaran air tidak melalui meter pukal dan ia adalah secara percuma," katanya.
Pada masa yang sama, Bung menjelaskan pihak kementerian turut mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk memaklumkan status semasa bekalan air di kawasan yang terjejas kepada Kementerian Kerja Raya.
Langkah segera itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Kementerian Kerja Raya mengenai isu bekalan air di UUC dan UCA 2 yang diadakan semalam.
Sementara itu, Bung memberikan jaminan bahawa akan membentangkan kertas cadangan kepada Kabinet negeri mengenai usaha mengatasi masalah air di Sabah dalam masa terdekat.
"Perkara ini bukan mudah kerana melibatkan berbillion-billion ringgit. Mungkin sudah tiba masanya pengurusan air perlu dipertanggungjawabkan kepada badan ketiga untuk mengurus air di Sabah.
"Rakyat Sabah berhak menikmati bekalan air bersih seperti di negeri yang lain. Saya memohon maaf di atas sebarang kesulitan dan gangguan yang berlaku amat dikesali," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/19
|