545 kes baharu, 13 daerah di Sabah rekod penurunan
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 545 kes baharu dengan penambahan dua kes melebihi jumlah kes harian berbanding hari sebelumnya.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata Sabah mencatatkan satu keadaan yang baik apabila 13 daerah di negeri ini menunjukkan penurunan kes.
“Angka jangkitan di semua daerah menunjukkan keadaan yang tidak sekata setiap hari dan berdasarkan penelitian harian, 19 daerah mencatatkan jangkitan pada bawah paras 20 kes dengan 10 daerah hanya mencatatkan kes satu angka sahaja.
“Tiada daerah yang mencatatkan kes tiga angka dan ibu negeri juga dilihat mencatatkan penurunan kes yang agak baik iaitu pengurangan sebanyak 28 kes.
“Ranau juga menurun sebanyak 23 kes dan secara keseluruhannya 13 daerah di Sabah mencatatkan penurunan bagaimanapun hanya Kota Kinabalu dan Ranau yang merekodkan penurunan yang agak banyak,” katanya.
Beliau berkata ibu negeri kekal sebagai penyumbang terbesar kes baharu di Sabah dan 12 daerah turut merekodkan peningkatan kes yang agak kecil manakala dua lagi daerah kekal sebagaimana catatan hari sebelum ini.
“Kes positif yang berpunca daripada saringan bergejala merekodkan jumlah yang tinggi iaitu 222 kes atau hampir 41 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Kes yang sinonim dengan jangkitan sporadik ini menununjukkan virus ini sudah berada didalam komuniti secara meluas dan risiko jangkitan adalah tinggi,” katanya sambil menambah penjagaan SOP dalam kalangan masyarakat adalah penting untuk mengurangkan jumlah jangkitan harian.
Beliau berkata jumlah pesakit yang mengalami kesan serius akibat jangkitan COVID-19 kekal rendah dan tiada pesakit dilaporkan berada dalam Kategori tiga bagaimanapun dua pesakit pesakit dalam Kategori empat dan hanya seorang dalam Kategori lima.
“Hampir 99.1 peratus daripada semua pesakit berada dalam Kategori satu dan dua manakala dua yang lain belum dikategorikan berikutan masih dalam penilaian JKNS,” katanya.
Dalam pada itu Masidi turut mengingatkan bahawa pelawat yang masuk ke Sabah dari Semenanjung dan Sarawak tidak lagi perlu membuat saringan COVID-19 dengan syarat sudah memperolehi vaksin lengkap sepertimana yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
utusanborneo.com.my/2021/11/20
|