CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 637|Reply: 0

[Sarawak] Kursi Sheikh Othman Sarawak perkasa penglibatan masyarakat Islam dalam ekonomi

[Copy link]
Post time 8-11-2021 03:56 PM | Show all posts |Read mode
Kursi Sheikh Othman Sarawak perkasa penglibatan masyarakat Islam dalam ekonomi

Abang Johari (dua kanan) menyaksikan penyerahan dokumen Memorandum Perjanjian penubuhan Kursi Sheikh Othman Sarawak di Fakulti Pengajian Islam, UKM antara Misnu (kanan) dan Mohd Ekhwan (dua kiri). Turut kelihatan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (kiri). - Gambar Penerangan

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penglibatan masyarakat Islam Sarawak dalam bidang ekonomi secara komprehensif akan diperkasakan menerusi penubuhan Kursi Sheikh Othman Sarawak.

Beliau berkata bagi tujuan itu kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta untuk menubuhkan Kursi Sheikh Othman Sarawak bagi menjalankan aktiviti penyelidikan baharu yang dapat memacu agenda pemerkasaan sosio-ekonomi masyarakat Islam negeri ini.

Menurutnya, penubuhan Kursi Sheikh Othman Sarawak di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022.

Ini seterusnya kata beliau, akan menyediakan pelan rancangan memberdaya potensi masyarakat Islam Sarawak untuk terus terlibat dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian moden serta memperkasa sumber manusia agar pemikir-pemikir Islam progresif serta dinamik dalam kalangan anak-anak negeri ini dapat dilahirkan.

"Inisiatif dan prakarsa ini amat sesuai dengan penamaan kursi ini dengan nama seorang tokoh ulama ulung dari Sarawak, iaitu Sheikh Othman Sarawak.

"Jasa dan sumbangan beliau dalam memastikan kelestarian masyarakat Islam terkemudian sewajarnya menjadi suri tauladan kepada generasi hari ini dan harapan dalam gagasan besar penubuhan Kursi ini.

"Kursi ini yang dicetuskan melalui resolusi Nadwah Ulama Nusantara kali ke-8 dianjurkan di Kuching, Sarawak pada tahun 2018 boleh dianggap antara prakarsa terpenting Kerajaan Negeri bagi meneroka bidang penyelidikan baharu yang dapat memacu kepada agenda Pemerkasaan Sosio-Ekonomi Masyarakat Islam di Negeri Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Memorandum Perjanjian Penubuhan Kursi Sheikh Othman Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian antara Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Naib Canselor UKM Prof. Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Abang Johari berkata mendepani realiti hari ini, Sarawak juga meneliti setiap fasa pembangunan dan tamadun seperti digariskan Ibn Khaldun.

"Menyedari penguasaan ilmu merupakan kemuncak pencapaian tamadun sesebuah bangsa dan negara, maka kerajaan negeri telah merangka pelan menjurus kepada penguasaan ilmu pengetahuan.

"Malah, penguasaan ilmu pengetahuan ini turut diperkasakan dengan memberi tumpuan terhadap ilmu-ilmu terkini yang boleh dimanfaat bagi mencipta teknologi, inovasi dan pembangunan insan dalam kerangka pembangunan semasa tamadun digital," jelasnya.

Beliau menambah, seperti mana peranan Sheikh Othman Sarawak, mengutamakan penguasaan ilmu pengetahuan dalam kalangan anak-anak Sarawak generasi selepasnya bagi mewujudkan modal insan yang berjaya dan seimbang dalam perkara duniawi dan ukhrawi.

Justeru katanya kerajaan negeri juga mencontohi pendekatan ulama ulung tersebut dengan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu.

"Maka, Kursi Sheikh Othman Sarawak yang ditubuhkan di UKM ini merupakan antara kaedah tuntas digerakkan oleh Kerajaan Sarawak dan Majlis Islam Sarawak dalam menyokong sebarang usaha serta prakarsa ke arah penguasaan ilmu pengetahuan.

"Budaya penyelidikan yang akan digiatkan melalui Kursi ini diharap mampu memberikan idea dan buah fikiran sekali gus membantu Kerajaan Negeri Sarawak dalam memperkasakan potensi umat Islam dalam setiap bidang khususnya dalam aspek pembangunan sosioekonomi," ujarnya.


utusanborneo.com.my/2021/11/08



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-1-2025 06:17 AM GMT+8 , Processed in 0.038783 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list