SPAOH: Musim tengkujuh yang diramal melanda pada awal tahun depan dan kebimbangan kemungkinan kemunculan varian Covid-19 baharu adalah sebab utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) sekarang.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata perkara itu dicapai selepas berunding dan berbincang dengan pihak berkuasa yang berkaitan.
Justeru, beliau menegaskan tuduhan pembangkang bahawa GPS mengadakan pilihan raya sekarang kerana takut kepada Undi 18 adalah propaganda semata-mata.
“Tidak semestinya semua mereka (Undi 18) anti kerajaan GPS,” katanya ketika sesi pertemuan dengan pemimpin akar umbi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Saban di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Uggah yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Saban berkata memandangkan musim hujan dijangka pada Januari dan Februari tahun depan, maka mengadakan pilihan raya pada waktu itu adalah sukar.
Katanya ia kerana banjir besar yang menjejaskan banyak kawasan mungkin berlaku.
Dalam pada itu, beliau berkata walaupun mengadakan pilihan raya, kerajaan GPS juga komited dalam menjamin keselamatan masyarakat daripada ancaman Covid-19.
Katanya paling dibimbangi ialah penularan varian Delta, yang telah menjadi jangkitan utama di negeri ini.
Sehubungan itu, Uggah berkata selain memastikan setiap orang menerima vaksin, masyarakat juga harus sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Justeru, katanya bagi tujuan pilihan raya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan merangka SOP yang bersesuaian, demi menjamin keselamatan masyarakat.
“Mungkin kita perlu mengikut SOP pilihan raya Melaka, seperti kempen atau lawatan rumah ke rumah tidak dibenarkan,” katanya sambil menambah, ahli dan jentera parti kini perlu berkempen melalui media sosial, poster dan teks telefon bimbit.
Manakala mengenai kedudukannya di Bukit Saban, Uggah yakin mampu mempertahankan kerusi yang disandangnya itu sekaligus menjadi kubu kuat GPS.
suarasarawak.my/2021/11
|