REMUK: Kenderaan yang membawa kesemua mangsa remuk dipercayai terbabas sejauh 28 meter.
TAWAU: Seorang maut, dua lagi cedera parah selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Gudang Empat, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.20 malam.
Katanya, pemandu bersama tiga lagi penumpangnya yang berumur 19 sehingga 24 tahun itu daripada Flat PPR Gudang Empat menuju ke bandar Tawau untuk pergi makan malam bersama-sama.
“Bagaimanapun, semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu kenderaan berkenaan cuba mengelak seekor anjing sebelum hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan sejauh kira-kira 28 meter.
“Akibat kemalangan tersebut, seorang penumpang berumur 23 maut di lokasi kejadian dan dua termasuk pemandu cedera parah,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat, manakala dua lagi yang cedera masing-masing menerima rawatan di zon Kuning dan Merah Unit Kecemasan.
Peter berkata, siasatan awal mendapati pemandu cuba mengelak seekor anjing sebelum hilang kawalan dan terbabas.
“Kenderaan yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan yang teruk dipercayai akibat terpusing dan terheret.
“Polis masih menjalankan siasatan ke atas kemalangan tersebut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/06
|