SEBUYAU: Kerajaan Sarawak akan membangunkan Bandar Baru Sebuyau, demikian menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Katanya, tempat telahpun dikenal pasti yang juga akan menyaksikan pembangunan skim perumahan mampu milik di bawah Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA).
“Kita akan membangunkan Bandar Baru Sebuyau yang sudah dikenalpasti dan dibawah PELITA kita akan membangunkan rumah mampu milik di kawasan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas mendengar taklimat pembangunan oleh agensi di Pejabat Daerah Kecil Sebuyau dalam lawatan kerja ke Sebuyau pada Sabtu.
Abang Johari memberitahu, pembangunan bandar baru Sebuyau ini mirip seperti yang dibangunkan di Serian.
“Borneo Development Corporation (BDC) akan membangunkan pusat pentadbirannya di sini nanti,” jelas beliau lagi.
Katanya lagi, beliau akan membuat satu pengumuman nanti apabila beliau datang kembali ke Sebuyau nanti.
Menurut kenyataan media pihak PELITA, Projek Perumahan Bandar Baru Sebuyau dirancang di kawasan seluas 41.36 ekar serta melibatkan pembinaan 235 unit rumah mampu milik untuk penduduk tempatan.
Pada masa ini, kerja penyediaan tapak dan kerja tanah sedang giat dilaksanakan oleh pihak PELITA.
Manakala kerja pembinaan 39 unit rumah bagi Fasa Pertama dijangka bermula pada suku pertama tahun 2022.
Pembangunan projek perumahan Bandar Baru Sebuyau ini amat bertepatan dengan hasrat murni Kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik yang lengkap dengan infrastruktur dan kemudahan sosial untuk penduduk di kawasan luar bandar.
Selain daripada projek perumahan, Pelan Induk yang telah diluluskan oleh pihak Kerajaan Negeri turut melibatkan komponen komersial seperti rumah kedai dua tingkat, rumah kedai tiga tingkat, medan selera, pasar tamu, premis industri kotej dan stesen minyak.
sarawakvoice.com/2021/11/07
|