[size=0.8]Oleh Hamzah Osman - November 6, 2021 @ 2:41pm[email protected]
Pantai Chenang, Langkawi lengang berikutan orang ramai mengambil sikap berwaspada terhadap amaran fenomena air pasang besar. - Foto NSTP/HAMZAH OSMAN
LANGKAWI: Pantai Chenang, di sini lengang berikutan sikap berwaspada orang ramai mengenai amaran fenomena air pasang besar sepanjang minggu ini.
Tinjauan pada jam 10 pagi tadi mendapati, pengunjung boleh dibilang dengan jari, malah pergerakan mereka dipantau anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi.
Pelancong, Khatijah Abdul Manan, 48, dari Ketereh, Kelantan, berkata beliau dan suami, Ramli Mohamad, 50, serta dua anaknya berhati-hati ketika beriadah di kawasan pantai itu.
"Memang kami sedia maklum mengenai amaran fenomena air pasang besar yang mungkin berlaku di pantai ini.
"Terbaca juga mengenai beberapa kejadian air pasang besar di beberapa kawasan pantai lain tapi di sini keadaan terkawal," katanya ketika ditemui.
Kamarudin Rahman, 62, berkata beliau dan keluarga tiba di pulau itu, Khamis lalu dan menginap selama dua malam di sebuah hotel berhampiran Pantai Chenang.
"Sebelum ini, saya ada mandi dan berenang di laut, tapi kali ini tidak berani untuk melakukannya.
"Lebih baik kita patuh kepada amaran pihak berkuasa daripada kita menanggung kesusahan kemudian hari," katanya yang juga seorang pesara Jabatan Kerja Raya.
Sebelum ini, APM Langkawi menasihatkan pengunjung pantai supaya berwaspada dengan fenomena air pasang besar dengan jangkaan ketinggian air mencecah 2.6 meter.