[size=0.8]Oleh Izad Thaqif Hassan - November 5, 2021 @ 12:03pm[email protected]
Warden berusia 46 tahun (botak berbaju oren) direman selama tujuh hari di Mahkamah Sesyen, hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pelatih pusat pemulihan dadah dan akhlak di Changlun, semalam. - Foto IZAD THAQIF HASSAN
KUBANG PASU: Leher dipijak serta dada dipukul dan ditendang tanpa belas kasihan.
Itu yang berlaku terhadap seorang pelatih sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak di Changlun, dekat sini apabila dia dipercayai menjadi mangsa belasahan seorang warden selepas berjaya ditangkap kerana cuba melarikan diri semalam.
Tindakan warden terbabit dipercayai menyebabkan lelaki berusia 31 tahun berasal dari Perlis itu pengsan ketika mandi sebelum dia disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata mangsa yang dimasukkan ke pusat pemulihan terbabit April lalu disebabkan masalah ketagihan ganja dikesan cuba melarikan diri kira-kira jam 3 pagi semalam, sebelum warden berkenaan keluar mencarinya.
"Warden terbabit bersama seorang kakitangan lain pusat pemulihan itu menaiki motosikal dan menemui mangsa di tepi jalan kira-kira satu kilometer dari pusat pemulihan berkenaan kira-kira 30 minit kemudian.
"Mangsa yang dalam keadaan lesu serta tidak bermaya itu kemudian dibawa pulang menaiki van dan ditempatkan di sel pengasingan," katanya.
Kamarul Zaman berkata, warden terbabit didakwa datang ke sel mangsa pada jam 11 pagi semalam dan dipercayai memijak leher, memukul serta menendang dada.
"Kejadian itu dilihat dua pelatih senior yang terus melerai serta menenangkan warden berkenaan daripada mengamuk dan membelasah mangsa yang ditempatkan dalam sel bersama enam penghuni lain itu.
"Tindakan warden terbabit menyebabkan mangsa mengalami cedera di dada, leher serta hidung berdarah dan hampir tujuh jam kemudian mangsa pengsan ketika mandi bersama enam pelatih lain," katanya hari ini.
Beliau berkata, melihatkan keadaan itu warden bersama pelatih lain membawa mangsa menaiki van namun dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jitra.
Kematian mangsa disahkan doktor jam 7.50 malam dan membuat laporan polis memaklumkan kejadian dengan mendakwa ada kesan lebam di leher, dada, bawah dagu dan terdapat kesan cakaran kuku kemungkinan akibat bergaduh.
Kamarul Zaman Mamat berkata, susulan daripada itu seorang lelaki berusia 46 tahun yang masih bujang dan bertugas sebagai warden sejak lebih setahun lalu di pusat pemulihan terbabit ditahan jam 9 malam.
"Setakat ini, suspek membuat pengakuan awal yang dia memang memukul mangsa.
"Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.