|
'Sempat balas WhatsApp isteri sebelum hilang'[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - November 4, 2021 @ 4:10pm[email protected]
Noor Aini tidak menyangka Omar menjadi mangsa banjir pertama di Kedah dan mayatnya ditemui pagi tadi. NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
JITRA: "Omar sempat berbalas mesej di aplikasi WhatsApp dengan isterinya yang juga anak saya, Nordiana Md Razi, 25, sehingga jam 12 tengah hari semalam sebelum dia senyap dan gagal dihubungi," kata ibu mentuanya, Noor Aini Mustafa, 45.
Omar Ismail, 22, ditemui lemas di kawasan sawah ditenggelami air di Sungai Seluang, Mukim Binjai, hari ini dan menjadi mangsa pertama banjir di negeri ini.
Noor Aini berkata, menantunya itu biasanya datang membantunya di kedai, tetapi tidak berbuat demikian semalam.
"Saya tidak tahu ke mana dia pergi, tetapi akhirnya dimaklumkan dia dilaporkan hilang di kawasan banjir," katanya.
[size=0.9]Jasad Omar Ismail, 22, yang ditemui pasukan Bomba dibawa ke Pusat Kawalan Bomba di Kampung Kubu. - Foto ihsan Bomba[size=0.9]
Mayat Omar ditemui pada jam 9.20 pagi tadi oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang melakukan pencarian di permukaan air di sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjatuh semalam.
Noor Aini berkata, menantunya dipercayai keluar rumah di Kampung Bukit Berangan, di sini, kira-kira jam 9 pagi dan pergi ke rumah ibunya sebelum datang ke kedai makan miliknya di kampung berkenaan.
Katanya, dia hanya mengetahui menantunya hilang selepas penduduk kampung datang memberitahunya kira-kira jam 3 petang.
"Ada yang cuba selam mencarinya, tetapi tidak jumpa sehingga mayatnya ditemui hari ini.
"Arwah mempunyai seorang anak berusia setahun dan dia seorang menantu yang sangat baik serta rajin," katanya.
Ahli keluarga Omar Ismail, 22, melihat jasad mangsa yang ditemui lemas di pusat kawalan Bomba di kampung Kubu.- Foto Zuliaty Zulkiffli
Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Berangan, Mat Isa Abdul Hamid, 51, berkata sebaik menerima maklumat Omar terjatuh di kawasan banjir Kampung Seluang, dia bersama beberapa penduduk membantu pihak berkuasa melakukan pencarian mangsa sejak petang semalam.
"Lokasi mangsa terjatuh ada pusaran air kerana kawasan sawah bercampur dengan air sungai menyebabkan arus air laju," katanya.
Dalam kejadian jam 3 petang semalam, mangsa dikatakan bersama bapa mentuanya memukat ikan di lokasi kejadian sebelum dihanyutkan arus deras menghala ke kawasan sawah bersebelahan sungai berkenaan.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|