[size=0.8]Noorazura Abdul Rahman - November 4, 2021 @ 4:33pm[email protected]
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Othman Aziz, melepaskan ikan haruan ke dalam sawah sempena Program Jom Turun Bendang di Kampung Pida 8 Tebengau, Ayer Hitam, Kubang Pasu, hari ini. NSTP/Noorazura Abdul Rahman
ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu bekerjasama dengan universiti tempatan untuk melakukan kajian secara menyeluruh mengenai benih padi sah (BPS) bagi memastikan tidak lagi berlaku kelewatan pengagihan BPS, pada musim depan.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Othman Aziz, berkata penilaian BPS harus dilakukan sebelum tiba musim menabur benih berikutan kelewatan pengagihan benih akan memberi kesan buruk terhadap rantaian industri padi.
Pada setiap musim, katanya, Jabatan Pertanian sudah mengetahui anggaran BPS yang diperlukan, justeru, penyelidikan mengenai benih ini perlu diperluaskan dengan kerjasama universiti tempatan.
"Kajian menyeluruh mengenai benih akan membantu meningkatkan kualiti benih serta memudahkan benih dihasilkan dalam kuantiti yang diperlukan dengan lebih cepat pada masa depan.
"Perkara seperti ini perlu diselesaikan secepat mungkin kerana kita adalah negara yang sudah berpengalaman puluhan tahun dalam tanaman padi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jom Turun Bendang di Kampung Pida 8 Tebengau, Ayer Hitam, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kelewatan penghantaran BPS kepada lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis berlaku berikutan benih terbabit perlu dihantar ke makmal Jabatan Pertanian bagi proses penilaian.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata pihaknya tidak boleh terus menghantar benih padi yang dikeluarkan pembekal tanpa melalui ujian bagi memastikan kualitinya sebelum pengesahan dapat dibuat.
Othman yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), berkata petani kini terpaksa berdepan risiko menuai di luar musim yang boleh menjejaskan hasil padi mereka berikutan masih ada yang tidak menerima bekalan BPS.
Katanya, kejadian banjir juga akan menyebabkan ramai petani terpaksa sekali lagi menabur benih, sekali gus meningkatkan kos mereka.