MIRI: Syarikat-syarikat industri minyak dan gas di sini bersetuju untuk menubuhkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) masing-masing bagi kes positif kategori 1 dan 2.
Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Dato Sri Lee Kim Shin (gambar) berkata, persetujuan itu dicapai setelah mesyuarat bersama syarikat terbabit diadakan secara Zoom, hari ini.
“Sarawak kini berada di bawah fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan sekatan kemasukan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih longgar termasuk kepada sektor minyak dan gas.
“Oleh itu, mesyuarat ini diadakan bagi meneliti dan mengambil tindakan dalaman dalam usaha mengawal serta menguruskan kes-kes positif dikalangan pekerja mereka memandangkan terdapat berpuluh kes positif telah berlaku dalam industri terbabit terutamanya ketika mereka sign on dan sign off.
“Malah, kebanyakkan kes adalah dalam kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Antara syarikat industri minyak dan gas yang terlibat dalam mesyuarat berkenaan ialah Malaysia Petroleum Management (MPM), Petronas Sarawak, Petronas Carigali Sdn Bhd, JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited, Sapura Energy Berhad, Petroleum Sararawak Berhad (PETROS), Dayang Enterprise Sdn Bhd dan PTTEP Sarawak Oil Limited, serta jabatan dan agensi di bawah JPBB Miri.
Menurut Menteri Pengangkutan itu, industri minyak dan gas memainkan peranan penting dalam merangsang ekonomi Sarawak.
Untuk mengatasi peningkatan kes positif COVID-19 bagi kakitangan sektor minyak dan gas di Miri dan Bintulu jelas Lee, Malaysia Petroleum Management (MPM) juga telah mencadangkan SOP bagi langkah pencegahan dalaman dengan memberikan taklimat mengenai garis panduan pengurusan kes positif kru sign on dan sign off, serta penubuhan PKRC dan Pusat Penilaian Covid (CAC) khas syarikat minyak dan gas.
“Syarikat-syarikat minyak dan gas juga akan mengurus dan mengawal pekerja-pekerja mereka terutamanya yang bergejala dan berisiko tinggi dengan menggunakan peralatan ujian RTK-Antigen, kaedah pengasingan dan kuarantin.
“Penilaian dan pengesanan pendedahan atau kontak rapat juga akan dijalankan kepada semua pekerja minyak dan gas,” ujarnya.
utusanborneo.com.my/2021/10/22
|