View: 2632|Reply: 0
|
Felda United Sedia Kukuhkan Cengkaman Di Persada Liga Perdana
[Copy link]
|
|
KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Felda United kini telah bersedia untuk mengukuhkan cengkaman di persada Liga Perdana apabila menentang PASUKAN Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sekat sini, Jumaat ini.
Saingan Liga Perdana disambung semula setelah berehat sejak sebulan yang lepas bagi memberikan laluan kepada pertandingan Piala FA.
"Pemain kita telah bersedia dan tidak sabar untuk menyambung kembali beraksi di dalam saingan liga serta menghadapi ATM yang dianggap antara pencabar utama," kata penolong pengurus pasukan, Faisal Zakariah ketika dihubungi Bernama, pada Rabu.
Beliau berkata dalam tempoh rehat sebulan itu, Felda United telah mengadakan empat perlawanan persahabatan bagi mengekalkan prestasi serta program motivasi untuk memperkuatkan mental pemain.
"Kita telah mencatatkan satu kemenangan menentang Perak (1-0) dan tiga keputusan seri menentang Sime Darby FC (2-2), T-Team (1-1) dan KL Plus (0-0)," katanya.
Menurut beliau lagi hampir semua pemain berada dalam keadaan cergas tanpa kecederaan yang serius termasuk 'ayam tambatan' mereka, Fatrurazi Rozi yang kini telah meledak 10 gol pada saingan liga setakat ini.
Pasukan berstatus kelab itu kini mendahului Liga Perdana dengan 25 mata daripada sembilan perlawanan yang telah diharungi diikuti rapat Selangor PKNS ditangga kedua yang mengumpul 22 mata.
Felda United yang dibimbing jurulatih E. Elavarasan yang mencatatkan lapan kemenangan dan satu keputusan seri juga merupakan satu-satunya pasukan di dalam Liga Perdana yang tidak pernah tewas setakat ini.
Mengenai perlawanan dengan ATM yang kini berada di kedudukan ketiga liga, Faisal berkata pasukan itu mempunyai ramai pemain berpengalaman seperti V.Saravanan, Chan Wing Hong, Danial Fadzly Abdullah dan Mohd Nafuzi Zain.
"Jadi kita harus berhati-hati kerana pengalaman luas yang dimiliki oleh mereka itu mungkin akan mengubah dan mempengaruhi corak permainan," katanya.
-- BERNAMA
|
|
|
|
|
|
|
| |
|