CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4011|Reply: 3

Senaman Kaligrafi Air - (senaman unik)

[Copy link]
Post time 14-4-2009 06:48 AM | Show all posts |Read mode
Senaman unik warga emas

Oleh ADHAM SHADAN



Menulis kaligrafi air di atas lantai batu menjadi salah satu
bentuk senaman atau aktiviti kecergasan yang dilakukan
oleh warga emas di Guangzhou, China.



DARI kejauhan, kelihatan tiga lembaga manusia terbongkok-bongkok di hadapan pintu gerbang Akademi Keluarga Chen, Guangzhou, China. Pejalan-pejalan kaki yang lalu lalang memberikan reaksi berbeza. Ada yang menoleh ke arah mereka dan ada yang tidak mengendahkan, seakan-akan sudah lali melihatnya.

Bagi sekumpulan delegasi media dari Asia Tenggara yang mengadakan lawatan ke sana baru-baru ini, pergerakan tiga manusia itu memang mencuri perhatian. Mendekati mereka, jelas sekali sosok-sosok tubuh itu merupakan sekumpulan warga tua yang sedang menulis kaligrafi di atas lantai batu.

Apa? Menulis kaligrafi di atas lantai batu?


Perbuatan itu barangkali dilihat sesetengah orang sebagai sesuatu yang aneh. Dengan hanya berbekalkan sebatang berus dan dakwat air kosong, tidak mustahil andai ada yang menganggap ia 'bagai mencangkul di udara' atau kerja yang sia-sia. Tetapi, itulah sejenis senaman yang popular dalam kalangan warga emas di bandar itu.



SENAMAN ini mesra alam sekitar kerana hanya menggunakan
air kosong dan mengurangkan penggunaan kertas.


Walaupun tulisan air akan disejat dan kering dek terik mentari, namun kegiatan itu bisa memberikan faedahnya yang tersendiri. Sebagaimana senaman lain, kaligrafi air itu turut membantu mencergaskan warga tua.

Ia disifatkan sebagai satu aktiviti yang menyihatkan kerana pengamalnya melakukan pergerakan sendi, kaki dan tubuh untuk menulis kaligrafi. Dengan tetap membongkok atau duduk walaupun ketika berundur (memandangkan tulisan Cina ditulis dari atas ke bawah), ia dikatakan dapat menguatkan beberapa anggota fizikal.

Seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Su, 64, mengakui senaman itu bagus untuk memastikan dirinya terus bertenaga.

"Ia juga memperbaiki kesihatan tulang belakang dan pinggang. Senaman itu berupaya membuat saya berpeluh," katanya kepada Kosmo! sambil mengesat peluh yang membasahi wajah. Kosmo! merupakan antara media dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand yang mengikuti lawatan ke Guangzhou, Guangdong tajaan AirAsia baru-baru ini.

Menurut Su, senaman kaligrafi air itu agak popular dalam kalangan warga emas Guangzhou terutamanya di kawasan berlantai batu di taman-taman. Guangzhou adalah ibu kota wilayah Guangdong. Su memberitahu, biasanya dia berada di situ pada setiap hari, mulai pukul 9 pagi dan akan pulang ke rumah pada pukul 11 pagi.



KELIBAT warga-warga tua yang cergas boleh dilihat
di merata tempat di Guangzhou.


Su yang tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan berkata, dia telah menjadikan senaman itu sebagai rutin harian sejak bersara.

Bekas jurutera elektrik itu berkata, senaman ini mempunyai manfaat yang lain. Ini kerana selain menyihatkan, ia juga membantu mengasah kemahiran menulis kaligrafi Cina yang merupakan khazanah seni berharga.

"Kaligrafi Cina merupakan salah satu daripada warisan Cina yang paling berharga. Pada zaman purba dahulu, memberi perhatian kepada penulisan kaligrafi menjadi refleksi terhadap taraf pendidikan anda. Jadi, orang Cina perlu mempunyai kemahiran itu sebagai tanda apresiasi seni.

"Senaman ini adalah satu idea menarik untuk melatih kemahiran menulis kaligrafi Cina," tambahnya sambil menyua berus dan bekas berisi air kosong kepada beberapa wartawan Cina dari Malaysia yang mahu mencubanya.

"Kami amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bersenam bersama kami," katanya tersenyum apabila melihat keterujaan sesetengah pengunjung terutamanya pelancong yang ingin cuba melakukannya.



BEBERAPA wartawan yang turut mencuba senaman kaligrafi air.



Seorang lagi warga tua, Chen Jian Quan, 55, berkata, senaman ini membantunya memperoleh daya tumpuan dan ketenangan minda.

"Saya bukan seorang penulis kaligrafi dan saya datang ke sini untuk bersenam dan berlatih menulis kaligrafi. Kata orang, berlatih menjadikan diri sempurna!" katanya yang amat menghargai kaligrafi Cina.

"Apabila saya menulis kaligrafi, saya tuliskan kata-kata puisi Cina yang damai dan memberikan inspirasi," katanya sambil menunjukkan salah satu puisi tulisannya yang belum kering.

"Itu bermakna, jika anda memiliki emosi iaitu cinta, cinta akan menjadi jambatan abadi yang menghubungkan setiap manusia atau apa sahaja," ujarnya.

Menzahirkan makna 'apa sahaja' itu, Jian Quan berkata, senaman itu bukan sekadar mengenai penjagaan kesihatan diri dan mengasah kemahiran menulis kaligrafi, bahkan ia juga untuk alam sekitar. Justeru, ia diibaratkan serampang 'tiga' mata.

"Senaman ini khusus untuk tiga perkara iaitu kesihatan badan, kemahiran seni kaligrafi Cina dan alam sekitar.

"Senaman ini ringkas. Anda cuma perlukan berus dan air kosong. Anda boleh menjimatkan penggunaan kertas atau dakwat. Ia senaman yang mesra alam. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara alam," kata Jian Quan yang turut berbangga kerana membawa nama keluarga Chen iaitu nama yang didedikasikan kepada akademi yang tersergam di hadapannya. Chen merupakan antara nama keluarga terbesar di seluruh wilayah Guangdong.

"Cepat atau lambatnya tulisan ini terpadam, bergantung kepada cuaca. Kalau panas terik, lebih cepat ia kering. Kadang-kadang ambil masa 15 minit hingga 20 minit," katanya.

"Tetapi, kalau cepat kering, cepatlah kami tulis yang baru," ujarnya.

Penulis mengamati bumi Guangzhou dihuni oleh orang-orang tua yang cergas. Di taman berdekatan Akademi Keluarga Chen, pelbagai aktiviti kesihatan yang disertai warga tua boleh dilihat sekitar pukul 10.30 pagi.

Selain bersenam kaligrafi air, sekumpulan wanita yang agak berusia pula bersenam menggunakan kipas dan bola sambil diiringi irama lagu yang rancak.

Di kawasan lapang di hadapan dewan peringatan Sun Yat Sen juga, kita boleh lihat beberapa warga tua sedang asyik melakukan senaman tai-ci.

Pemandangan warga tua sama ada lelaki mahupun wanita yang mengayuh basikal dengan gagah sejauh 10 kilometer hingga 20 kilometer boleh dilihat di jalan raya. Begitu juga yang masih tegap berjalan kaki di sekitar kawasan perniagaan dan pasar raya.

"Semua itu pemandangan biasa di sini," kata pemandu pelancong, Benjamin L.P Yip, 40.

Ditanya mengapa warga tua kelihatan lebih banyak melakukan senaman dan aktiviti kecergasan berbanding dengan warga muda, Benjamin berkata:

"Ketika muda, warga kami hanya menumpukan soal mencari duit. Kerja, kerja dan kerja... Bertungkus lumus, kami bekerja. Apabila mencapai umur bersara, ada di antara rakan-rakan mereka yang meninggal dunia kerana sakit dan melihat itu, ia membangkitkan kebimbangan mereka terhadap kesihatan diri.

"Itulah sebabnya, selepas bersara barulah aktiviti kecergasan menjadi rancak dalam kalangan mereka. Bapa saya berusia 72 tahun dan datuk saya berusia 95 tahun. Kedua-duanya masih kuat dan sihat," kata Benjamin sambil memberitahu dianggarkan statistik terbaru menunjukkan bahawa purata hayat bagi warga lelaki Guangzhou adalah 72 tahun manakala wanita, 75 tahun.

Menurut laporan NEWSGD.com, populasi Guangzhou dijangka akan terus bertambah daripada 9.8 juta kepada 10.9 juta pada tahun 2010 dengan purata jangka hayat warganya adalah 78 tahun.


****************************************************************************
ala -ala tai chi tapi lebih interesting sebab buat calligraphy sambil bersenam -
orang2 tua bangsa cina memang selalu buat senaman yang tenangkan fikiran ni -
bagus rasanya sebab boleh cergas juga -- dan yang penting kesihatan terjaga
bila usia dah meningkat -
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 14-4-2009 08:42 AM | Show all posts
baru baca newpaper pagi tadi...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-4-2009 06:26 AM | Show all posts

Reply #2 karambunai's post

jumpa karam nanti
kita buat la water calligraphy ni  eh  karam -
Reply

Use magic Report

Post time 25-9-2010 10:32 AM | Show all posts
macam taici jekkk
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-11-2024 09:51 AM GMT+8 , Processed in 0.074629 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list