|
Keghairahan budaya India
KAREN WONG (kiri) dan Ella Yu bergambar dalam persalinan
pakaian tradisional India selepas mengadakan persembahan
di tanah air mereka, Hong Kong.
Ella Yu tidak pernah mengimpikan kelas yoga yang disertainya 10 tahun lalu akan membuka lembaran baru dalam hidup dan cintanya terhadap budaya India.
"Saya berubah menjadi individu baru semasa berlatih tarian tradisional India. Saya merasakan seperti berhubung dengan budaya negara itu," kata beliau selepas menamatkan persembahan bersama kumpulan tarian Indianya.
Tambah pegawai maklumat kerajaan Hong Kong berusia 44 tahun ini : "Pernah sekali, saya merasakan seperti berhubung dengan Tuhan."
Ketika keghairahannya terhadap budaya India kelihatan pelik di bandar raya selatan China ini yang mana kepimpinan kapitalisme dan fesyen bergantung pada trend terkini, Ella mendapati bahawa beliau bukan bersendirian.
Ella dan Karen Kwong bertemu dalam sebuah kelas yoga beberapa tahun lalu dan mendapati mereka berkongsi keghairahan terhadap sesuatu yang kian menjadi tumpuan hidup mereka.
Akhirnya, Karen meninggalkan kerjayanya sebagai pengurus pelaburan untuk menjadi seorang instruktor yoga.
| ELLA YU (belakang) dan Karen Wong sedang bersiap untuk mengadakan persembahan tarian India di Hong Kong.
|
"Terdapat banyak pilihan di Hong Kong dan rentaknya sungguh pantas sehingga menyebabkan manusia menjadi pelupa, tiada siapa yang berhenti sejenak dan melihat persekitaran atau berfikir dan mendalami apa yang terkandung dalam jiwa mereka," kata Karen, 43.
Pada tahun lalu, mereka berdua menubuhkan Passion India, sebuah organisasi yang mempromosikan budaya masyarakat India melalui tarian tradisional dan yoga di Hong Kong.
Mereka membuat persembahan tarian dan demonstrasi yoga di acara-acara komuniti di sekitar bandar raya tersebut.
Kedua-dua wanita ini juga mengembara ke India untuk mempelajari lebih mendalam mengenai budaya negara tersebut.
Semasa kunjungan berasingan mereka ke bandar-bandar selatan India termasuk Trivandrum di Kerala dan Chennai yang terletak berhampiran Tamil Nadu, mereka tinggal bersama keluarga tempatan dalam usaha untuk menyerap sebanyak mana pengalaman hidup harian dan spiritual di negara tersebut.
Mereka juga menghimpunkan pengalaman yang ditimba dalam sebuah buku berjudul Actually, I am an Indian yang meraikan keringkasan, kesucian dan kebebasan yang mereka dakwa ditemui di India tetapi tidak di Hong Kong.
"Anda boleh merasakan hubungan antara manusia dan rasa terima kasih mereka terhadap kehidupan. Tetapi di bandar raya ini, kita kelihatan seperti lupa tentang kerapatan antara satu sama lain," kata Karen.
Proses tersebut telah membawa kepada perubahan gaya hidup dan sikap terhadap kehidupan kedua-dua individu ini.
Ella juga mendakwa, keghairahannya itu telah membentuk identiti kedua sebagai seorang rakyat India.
Dengan itu, beliau sanggup mengabdikan sebahagian besar masanya untuk mempelajari budaya negara India.
"Sesetengah orang menganggap saya gila kerana melihat saya seolah-olah mempunyai dua identiti iaitu sebagai Ella, seorang penghuni Hong Kong yang pergi kerja manakala identiti yang satu lagi ialah seorang rakyat India yang mencintai budaya dan mengamalkan tarian tradisional negara itu dan juga yoga."
Namun demikian, kehidupan beliau tidak selalunya senang.
Selain suami yang merungut kerana mereka kian kurang menghabiskan masa bersama, Ella juga sering dimarahi oleh doktornya apabila keghairahan terhadap tarian tradisional itu membawa kepada sakit belakang.
Lama-kelamaan, kata Ella, doktor tersebut turut menyerlahkan 'identiti rahsia' beliau.
"Beliau berkata bahawa beliau adalah seorang artis mimos di sebuah kumpulan mimos teater tempatan.
"Doktor tersebut kemudian telah membantu saya menganjurkan persembahan dan kelas-kelas di sana," kata Ella tertawa sambil mengimbau saat solidariti yang dialaminya.
Karen yang dilahirkan dalam sebuah keluarga beragama Buddha berkata, beliau menemui ketenangan yang lebih besar dalam kerjaya barunya ini.
"Mengajar yoga bukanlah perkara yang mudah tetapi saya tidak perlu berhadapan dengan politik. Dengan itu, saya mempunyai lebih banyak kebebasan dan mampu berkongsi keghairahan bersama individu lain," kata beliau sambil memaklumkan dirinya lebih menerima sesuatu kejadian yang berlaku dengan sendirinya.
"Keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja mempunyai perasaan bercampur-campur terhadap keghairahan mereka terhadap budaya India ini," kata Karen, sambil menambah ada juga yang terkejut, tidak memahami dan hairan dengan persembahan mereka.
Namun, ada juga yang memberikan sokongan padu.
Beliau mendakwa budaya India telah membuatkan beliau menghargai orang lain dan ini satu perubahan yang membantu beliau menguruskan hubungan dengan rakan sekerja lain.
"Daripada memberi fokus kepada kesalahan dan kelemahan orang lain, kita patut menghargai mereka terhadap kemampuan mereka.
"Saya telah mempelajari cara untuk mengasingkan diri dalam situasi tertentu, mempunyai pandangan objektif, mengimbangi dan berkompromi dengan pelbagai pihak berlainan untuk menyelesaikan sesuatu, khasnya perkara di pejabat."
Pengajaran terpenting yang telah dipelajarinya ialah "Ikutlah keghairahan anda, ia tidak pernah salah." - AFP |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|