CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8151|Reply: 4

Jalan Trus - Little India Johor Bahru -

[Copy link]
Post time 3-7-2008 06:39 AM | Show all posts |Read mode
Little India Johor Bahru
Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN


Jalan Trus dianggap nadi perniagaan masyarakat India yang menghuni di sekitar pusat bandar raya Johor Bahru. Selain penduduk tempatan, pendatang asing terutama peniaga dari India aktif menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.





DERETAN bangunan lama berusia kira-kira 100 tahun berdiri megah dan teguh manakala alunan lagu-lagu lama dan baru versi Tamil berkumandang menusuk ke halwa telinga pengunjung di sepanjang kawasan ini.

Aroma masakan rempah ratus yang tersebar dari restoran dan gerai-gerai makanan pula mengecurkan air liur. Suasana yang cukup menyeronokkan ini pasti membuatkan seseorang bagaikan berada di bandar Chennai, India buat seketika.

Dalam pada ramai yang berpusu-pusu ke India untuk menikmati keindahan tradisi dan warisan asli masyarakat India, sehingga ada yang sanggup berbelanja besar semata-mata mahu membeli pelbagai item kegemaran di negara tersebut, daripada sari sehingga barangan kemas, gerai jualan di lokasi ini tidak mengecewakan.

Kesemua barangan yang dicari itu boleh dimiliki jika anda berkunjung ke Jalan Trus yang berpangkalan di ibu negeri Johor Darul Takzim.

Bandar raya ini boleh diibaratkan sebagai syurga membeli-belah bagi penghuni dan pelancong dari negara jiran, Singapura.

Ini kerana gerai yang terdapat di Jalan Trus menjanjikan pelbagai pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan di bandar raya paling selatan di Semenanjung Malaysia ini.




Antara yang boleh disinggahi ialah City Square yang terletak di Jalan Wong Ah Fook dan kedai bebas cukai di JB Duty Free Zone, Jalan Sultan Ibrahim yang terletak bersebelahan dengan Selat Tebrau dan Plaza Kotaraya serta Plaza Pelangi di Menara Pelangi.

Keseronokan dan keghairahan membeli-belah semakin memuncak sejurus kaki melangkah masuk ke Jalan Trus yang perjalanannya mengambil masa hanya beberapa minit dari Tambak Johor.

Bukan sahaja nilai ringgit yang lebih rendah berbanding mata wang dolar Singapura, malah barangan yang ditawarkan juga memenuhi cita rasa, selain kualiti barangan yang dijamin.

Pemilik kedai Kalyana Raman Trading, V.Raja Seharan mengakui fakta ini dengan berkata : "Kebanyakan pengunjung memilih lokasi ini kerana harga barangan yang murah dan berpatutan serta variasi barang yang ditawarkan.

"Jalan Trus dianggap nadi perniagaan masyarakat India yang menetap di sekitar bandar raya ini. Selain penduduk tempatan, pendatang asing terutama peniaga dari India aktif menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

"Walaupun urusan perniagaan didominasi oleh kaum India tetapi ini bukan penghalang bagi masyarakat lain seperti pengunjung Melayu dan Cina untuk melawat tempat ini bagi tujuan membeli-belah serta menikmati juadah enak di sini," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kedainya baru-baru ini.


GERAI di Jalan Trus menjanjikan pelbagai pengalaman
membeli-belah yang menyeronokkan



Pemilik kedai yang lebih mesra dengan panggilan Raja ini memberitahu, ketika beliau memulakan perniagaan pada sekitar tahun 1989, belum muncul sebarang perusahaan India di jalan tersebut.

"Peredaran masa, transformasi gaya hidup serta perubahan ekonomi membuatkan lebih ramai peniaga muncul bagaikan cendawan selepas hujan sejak lebih sedekad yang lalu.

"Kebanyakan daripada mereka mengusahakan perniagaan restoran yang menawarkan aneka hidangan masyarakat India Selatan dan Utara. Ada juga yang menjalankan perniagaan runcit seperti menjual pakaian dan barangan keperluan harian," ujarnya.

Menurut Raja, pembangunan dan perkembangan bandar menjadikan bilangan peniaga semakin meningkat. Kini, terdapat kira-kira 60 kedai yang masing-masing mengusahakan pelbagai jenis perniagaan untuk memenuhi permintaan masyarakat tempatan.

Beliau juga berkata, kunjungan kerap warga Singapura ke destinasi ini sepanjang minggu bukan sahaja melonjakkan pendapatan peniaga tetapi juga menyemarakkan popularitinya dalam kalangan pelancong asing.

"Pada penghujung minggu, penganut agama Hindu yang menunaikan ibadat di Kuil Raja Mariamman di Jalan Trus akan bersama keluarga menjamu selera di Restoran Muthu, Annapurna, Nilla dan Ayya," jelas lelaki yang turut melebarkan sayap perniagaannya ke Singapura dan India.

Mengulas sajian yang terdapat di restoran sekitar Jalan Trus, katanya, variasi masakan India Selatan dan Utara iaitu daripada thosai sehingga makanan daun pisang, diikuti roti naan bersama tandori, kofta dan parata pasti membuka selera para pengunjung.

Selain membeli-belah, orang ramai juga boleh meluangkan masa bersama seisi keluarga dan sahabat handai singgah ke pawagam Broadway untuk menonton filem kegemaran mereka.

"Apabila pengunjung masuk ke kedai saya, mereka akan menerima layanan mesra. Di sini, mereka boleh membeli fabrik asli sari, pakaian punjabi dan kurta.

"Kami juga menawarkan peralatan dekorasi kediaman yang menampilkan konsep dan sentuhan tradisi kaum India. Peralatan memasak di rumah dan aksesori pakaian turut dijual selepas menerima sambutan yang menggalakkan," katanya.


DERETAN kedai di Jalan Trus yang menjadi tumpuan
masyarakat India untuk membeli-belah


Sementara itu, Pengurus Restoran Nilla Sdn. Bhd., C.Dhana pula berkata, walaupun perniagaan masyarakat India di Jalan Trus ini masih muda berbanding di Jalan Tengku Klana, Klang dan Jalan Masjid India di ibu kota, ia masih berjaya mengukir nama tersendiri kerana kualiti barangan dan layanan mesra peniaga.

"Restoran Nilla mula menjejak kaki di lokasi ini pada tahun 2000. Pada ketika itu, tidak banyak pengusaha restoran wujud dan pengusaha yang ada pun hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

"Namun, sokongan dan inisiatif kerajaan tempatan secara tidak langsung membantu pembangunan dan perkembangan perniagaan di kawasan ini.

"Ini jelas kelihatan apabila ramai masyarakat India setempat berusaha membuka perniagaan sendiri untuk menampung periuk nasi masing-masing," jelas Thana yang berkhidmat di restoran ini sejak sedekad yang lalu.

Menjelang bulan September dan Oktober, Jalan Trus akan menjadi tumpuan penghuni tempatan dan tetamu asing yang datang untuk membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali.

Ekoran itu, katanya, Pesta Deepavali akan diadakan sepanjang jalan ini untuk memeriahkan suasana perniagaan dan perayaan yang bakal disambut.

"Peniaga kecil-kecilan dari sekitar bandar raya ini akan mengerumuni gerai di sepanjang Jalan Trus untuk memilih aneka barangan yang ditawarkan pada harga yang lebih murah pada bulan-bulan tersebut, berbanding bulan-bulan lain," katanya

Lubuk bunga segar


SELAIN pengusaha restoran dan peruncit, Jalan Trus juga menjadi lubuk emas bagi penjual bunga yang mengusahakan perniagaan secara turun-temurun.

Pemilik Kedai Bunga Kavita, M.Kavitha, 28, memberitahu, Jalan Trus bukan sahaja menjadi lubuk emas bagi kebanyakan penjual bunga sejak dahulu tetapi ia mencerminkan identiti dan tradisi etnik masyarakat India di bandar raya Johor Bahru.

揝ebenarnya, perniagaan ini diusahakan sejak 25 tahun yang lalu oleh bapa saya. Setelah bapa meninggal dunia dan sebagai anak sulung dalam keluarga, saya meneruskan perniagaan ini.

揙leh kerana, lokasi ini terletak di pusat bandar raya maka orang ramai pasti berkunjung ke jalan ini untuk membeli bunga-bungaan bagi majlis perkahwinan dan upacara keagamaan,
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 3-7-2008 07:24 AM | Show all posts
mcm brickfields je..
sure jam giler..

Reply

Use magic Report

Post time 3-7-2008 08:42 AM | Show all posts
tak aah..tak jem dan tak macam masjid india

cuma tak berape suka jalan kaki area tu, tak tahan bau bunga wangi sangat
Reply

Use magic Report

Post time 3-7-2008 09:04 AM | Show all posts

Reply #3 Vvenus's post

betul, jalan trus nih tak jem sgt pon..tapi tak suke gak jalan kat area situh, sbb bau wangi bunga sgt..tak suke la..hehe..
Reply

Use magic Report

Post time 3-7-2008 09:21 AM | Show all posts
kelapa byk pecah kat area ni
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-6-2024 02:35 PM GMT+8 , Processed in 0.251871 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list