CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1827|Reply: 1

Demi Anak - 'Bapa' Rumah Agathians -

[Copy link]
Post time 28-6-2008 09:15 AM | Show all posts |Read mode

a great article for us to ponder... especially good for all the fathers out there too -
biar dapat inspirasi juga....

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


'Bapa' Rumah Agathians


Meskipun tidak mempunyai seorang insan bergelar bapa di sisi, Sivabalan tidak pernah membiarkan kekecewaan menyelubungi diri si kecil pada hari-hari mendatang. Siapakah beliau dan apa kaitannya dengan 30 anak-anak kecil ini?


Ikuti luahannya kepada wartawan SUBASHINI RAJANDRA.


Hampir setiap hari, Sivabalan meluangkan masa
yang berfaedah dengan anak-anak angkatnya.



APA yang bermula sebagai tanggungjawab sosiol pada masa lapang, kini bertukar menjadi amanat besar kepada Sivabalan. Baru mendirikan rumah tangga kira-kira enam bulan lalu, lelaki ini memiliki 'hati' yang cukup besar untuk dikongsi bersama 30 anak.

Uniknya, kesemua anak-anak ini bukan anak sendiri tetapi dijaga seperti anak sendiri! Sivabalan yang belum menimang anak kandung, sibuk mengurus Rumah Agathians yang terletak di Jalan Tengas 8/8, Seksyen 8, Petaling Jaya. Begini, kisahnya bermula.

Kira-kira enam tahun lalu, beliau dan rakan-rakannya sering meluangkan masa senggang untuk melakukan kerja-kerja amal di sekitar Petaling Jaya. Ketika itu, mereka aktif mengajar kanak-kanak di sebuah rumah kebajikan.

"Seramai 10 kanak-kanak tinggal serumah ini dan penjaganya menghadapi masalah kewangan dan lain-lain," kata Sivabalan yang ketika itu tidak menyedari berlaku penyelewengan dana sumbangan orang luar di rumah tersebut.

Perkara ini hanya sampai kepada pengetahuannya secara tidak sengaja apabila beliau dihubungi oleh pihak polis. "Saya terkejut mendengar berita tentang dua kanak-kanak di rumah tersebut didera dengan sebatang besi. Seorang cedera teruk di bahagian kaki dan seorang lagi di bahagian tangan," cerita Sivabalan dengan penuh emosi.

Mengikut laporan polis, Sivabalan memberitahu, kanak-kanak lain cuba mendapatkan bantuan daripada jiran sebaik sahaja penjaga terlibat memukul dan melarikan diri. Seorang jiran yang bergegas ke tempat kejadian menghubungi polis yang kemudian menelefon Sivabalan dan rakan-rakannya untuk disoal siasat.


SIVABALAN tidak mahu lagi mengajar
di rumah ini kerana dirinya terlalu tegas.


"Polis memperoleh nombor telefon kami daripada kanak-kanak ini kerana sebelum ini, kami memberikan nombor telefon masing-masing jika berlaku kecemasan. Sewaktu disoal tentang penglibatan kami di rumah tersebut, barulah kami tahu bahawa rumah ini tidak pernah didaftar secara sah," cerita Sivabalan yang berasa tertipu dan takut.

Beliau berasa takut kerana bimbang jika situasi itu akan mengheretnya ke muka pengadilan sekali gus menyebabkan lesen perniagaannya, sebuah firma akauntan ditarik balik.

"Daripada kejadian ini, saya dapat satu pengajaran yang betul-betul membuka mata saya tentang kehidupan dunia yang banyak muslihat. Pengajarannya ialah jangan sesekali menghulurkan bantuan selagi belum memeriksa sijil pendaftaran. Ada banyak sindiket yang bergerak dengan licik," ujarnya.

Berbalik kepada nasib kanak-kanak malang ini, ia bertambah buruk berikutan khabar yang menyatakan tiada kekosongan di mana-mana rumah kebajikan di seluruh negara.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memberitahu terdapat kira-kira 1,000 kanak-kanak yang masih menunggu untuk mendaftar masuk ke rumah amal di seluruh negara.

Bagaimanapun, seorang pegawai JKM memberi cadangan supaya dia terus pergi ke rumah anak yatim untuk meminta pertolongan tanpa perlu 'beratur' panjang. "Saya segera 'bergerak'. Tetapi rupa-rupanya kebanyakan rumah-rumah yang ditemui meminta tajaan dan lebih teruk, meminta kurikulum vitae kanak-kanak ini."


"Mengapa? Sebab mereka hanya mahu kanak-kanak yang ada reputasi mendaftar masuk supaya tidak menjejaskan kredibiliti rumah kebajikan mereka."

Jika diikutkan kata hati ketika itu, naluri Sivabalan mahu menutup sebelah mata dan membiarkan kanak-kanak ini begitu sahaja.

Mungkin kerana didikan keluarga dan prihatin sesama manusia, Sivabalan berubah fikiran dan mengambil keputusan yang penting ini.

Sivabalan bertekad untuk mewujudkan sebuah rumah amal yang baru, Rumah Agathians. Ibu Sivabalan mengesyorkan untuk membawa kanak-kanak ini tinggal bersamanya tetapi Sivabalan tidak mahu menambah masalah. Kali ini, beliau memastikan penubuhan rumah tersebut berjalan lancar dan mengikut undang-undang.


SUKARELAWAN, Marie de Redder tinggal di Rumah
Agathians selama beberapa minggu.


Beliau dan rakan-rakannya yang lain duduk berbincang tentang kos asas. Jika setiap seorang kanak-kanak memerlukan RM250 sebulan untuk perbelanjaan makanan, sekolah dan lain-lain, bermakna mereka memerlukan RM2,500 untuk 10 kanak-kanak.

"Kami bersetuju untuk mengeluarkan duit poket dan menganjurkan majlis mengutip derma dari semasa ke semasa. Kami juga 'menggadaikan' setiap hari Sabtu dalam sebulan untuk datang ke rumah ini mengajar mereka. Pada hari lain, kami tugaskan seorang penjaga yang tinggal di rumah ini sepenuh masa," katanya.

Sebuah rumah kosong di Seksyen 8, Petaling Jaya menjadi pilihan utama memandangkan ia berdekatan dengan sekolah. Lagipun, Rumah Agathians berjaya mendapat pengecualian daripada dikenakan cukai untuk setiap wang ringgit yang diderma. Urusan penghantaran bekalan barangan runcit juga diaturkan selang sehari.

"Tetapi saya terlepas pandang beberapa perkara. Apabila kami memulakan sebuah rumah kebajikan, pasti ramai yang mahu menghantar kanak-kanak terbiar ke sini. Yang pasti, badan bukan kerajaan menyedari kehadiran kami dan memohon agar kami menerima penghuni baru."

"Mula-mula seorang, kemudian tambah dua, lepas itu seorang lagi dan akhirnya kami tidak mampu menampung kos yang bertambah secara mendadak. Bila kami enggan terima lagi, NGO menyoal sama ada kami bersikap prejudis, mempunyai motif tersembunyi dan sebagainya," katanya yang memberitahu akhirnya rumah kebajikan ini mencapai had maksimum iaitu 30 kanak-kanak yang berusia semuda tiga hingga 17 tahun di dua buah rumah di Seksyen 8.


Saban hari, mereka terpaksa mencari jalan untuk sokongan seperti mengadakan acara pungutan derma yang disaksikan baru-baru ini di The Curve, Rock Up! anjuran Kumpulan Rhythm Rascals.

Selain itu, Sivabalan menggunakan rangkaian kliennya untuk menderma sekali setahun dalam amaun besar bagi menyokong kerja-kerja pengoperasian di Rumah Agathians.

Pada masa yang sama, mereka juga memohon bantuan daripada beberapa badan kerajaan. Sekarang, jumlah perbelanjaan sebulan mencecah RM13,000.

Sejak diasaskan pada 2003, Rumah Agathians beroperasi dengan bantuan enam orang ahli jawatankuasa yang ditugaskan untuk memantau kerja-kerja pengkeranian. Dikelola oleh Madam Pakiam, mereka bekerja secara bergilir dan tidak dibenarkan membawa keluar sebarang dokumen.

Dalam erti kata lain, rumah ini bergantung sepenuhnya kepada bantuan sukarelawan dan kerap menghadapi kesuntukan wang perbelanjaan harian.

"Kita bukannya tamak. Kalau RM1,000 pun amat dihargai kerana ia dapat menampung sebahagian daripada kos makanan. Lebih-lebih lagi, kenaikan harga petrol yang turut memberi tempias yang hebat," ujarnya dengan penuh harapan.

Dalam pada itu, dengan panggilan Anna (abang) dalam bahasa Tamil, kanak-kanak ini menjalinkan hubungan mesra dengannya dalam masa yang singkat. Bagaikan seorang bapa, Sivabalan suka datang ke sini hampir setiap hari. Pejabatnya juga tidak berapa jauh dan dia gemar berlawak-jenaka serta bermain catur dengan kanak-kanak ini. Begitupun, dia menahan diri daripada mengajar kerana sikapnya yang tegas.

"Saya seorang yang garang sehingga terpaksa guna rotan untuk mengajar. Sebab itulah, saya serahkan tugas ini kepada orang lain," ujarnya yang kurang sibuk pada pertengahan tahun kerana tiada tugasan audit.

Sangkaan bahawa kanak-kanak ini nakal dan sukar dikawal berbanding kanak-kanak biasa, salah sama sekali. Ini kerana Rumah Agathians ada peraturan sendiri. Semua kanak-kanak dikehendaki mematuhi peraturan seperti waktu makan, tidur, main serta tidak bergaduh.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

bagus betul ada orang yang nak mengambil berat tentang kanak2 ini...
walaupun funding yang terhad..  dan nasib baik ada volunteer yang
ingin menolong juga...   article ni untuk iktibar kita juga.. yang bernasib
baik.. - tapi tengok la anak2 yang tak bernasib baik itu.. alhamdullilah
ada orang macam sivabalan punyai hati yang baik ingin menolong tu -

kalau ada yang tinggal dekat2 sana.. bagus juga buat volunteer kat situ ye -
masa di canada dulu.. masa summer - saya selalu volunteer kat rumah
kebajikan begini.. cuma bukan budak2 tapi perempuan2 yang kena abused
yang lari dari rumah samada isteri orang atau budak2 remaja...
(alamat rumah tu tak ada dalam yellow pages - sebab tak semua orang
tahu yang tempat tu sebagai satu protection)

macam2 boleh buat - clean up - masak, dishes.. or just jadi a good listener
dan kat PJ pun ada satu -

kalau sesiapa yang ada masa lapang.. bagus juga
menolong kanak2 ini.. secara sukarela.. bagus untuk diri kita dan dapat
mengenali dan memahami keadaan kanak2... boleh jadikan satu experience
dalam hidup juga -
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 28-6-2008 09:40 AM | Show all posts
Originally posted by dexa at 28-6-2008 09:15 AM

a great article for us to ponder... especially good for all the fathers out there too -
biar dapat inspirasi juga....

---------------------------------------------------------------------- ...

Keep up your goodwork bro  May God bless u
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-2-2025 07:36 AM GMT+8 , Processed in 0.058641 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list