View: 13658|Reply: 21
|
Bunuh diri: Adakah kesalahan jenayah?
[Copy link]
|
|
Bunuh diri: Adakah kesalahan jenayah?
Oleh: A. HALIM SIDEK
DIANGGARKAN sebanyak 2,000 orang membunuh diri setiap tahun seperti yang pernah diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek tidak lama dulu.
Antara lain punca seseorang itu membunuh diri adalah kemiskinan, kehilangan orang yang tersayang, keruntuhan dalam perhubungan seperti perceraian. Penyalahgunaan dadah, kegagalan akademik dan latar belakang keluarga juga menyumbang kepada tindakan nekad membunuh diri.
Persoalannya adakah membunuh diri itu satu kesalahan jenayah? Bolehkah orang yang melakukannya dikenakan tindakan undang-undang?
Suicide atau membunuh diri adalah suatu perbuatan di mana seseorang itu menamatkan hayatnya atau nyawa sendiri. Hal ini sememangnya ditegah oleh undang-undang kerana nyawa adalah kurniaan Tuhan dan tiada siapa pun boleh mengambilnya tanpa sebarang justifikasi. Lantaran itu apabila seorang pembunuh didapati bersalah dan dihukum bunuh, maka menamatkan nyawa pesalah itu tadi adalah satu tindakan yang ada justifikasi undang-undang. Sebaliknya orang yang mengamuk dan tanpa sebarang dalihan yang sah menembak mati sekumpulan pelajar adalah melakukan dengan tiada justifikasi dan boleh disabitkan dengan kesalahan membunuh.
Kanun Keseksaan tidak memperuntukkan sebarang kesalahan bagi perbuatan membunuh diri tetapi hanya wujud kesalahan bagi perbuatan cubaan membunuh diri dan kesalahan membantu orang membunuh diri.
Seksyen 309 Kanun Keseksaan menyebut; barang siapa cuba membunuh diri, dan melakukan sebarang perbuatan ke arah melaksanakan kesalahan itu, hendaklah dihukum penjara sehingga kepada tempoh satu tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Lazimnya undang-undang hanya akan menghukum bagi kesalahan melakukan jenayah sepenuhnya. Lain pula dalam perkara membunuh diri ini. Jika seseorang yang melakukan perbuatan membunuh diri itu berjaya melaksanakan pembunuhan diri itu dan dia akhirnya mati, maka undang-undang tidak menjadikan itu suatu kesalahan. Lantaran itulah tiada terdapat sebarang peruntukan bagi menjadikan perbuatan membunuh diri sebagai suatu jenayah yang boleh didakwa di mahkamah keadilan di Malaysia.
Dalam setiap jenayah ada peringkat perlakuan yang mana undang-undang boleh dibuat bagi mengenakan tanggungan jenayah. Dalam konteks membunuh diri jika telah sampai ke peringkat pelaksanaan dan orang itu berjaya, maka undang-undang masih tidak mewujudkan kesalahan bagi perbuatan itu. Ini memandangkan si pembuat itu telah pun menamatkan nyawanya sendiri.
Akan tetapi, jika orang yang sama itu gagal melaksanakan apa yang telah dimulakan dan tidak mati maka dia boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi cubaan membunuh diri.
Hal ini adalah kerana pihak yang mendraf undang-undang tidak mahu menggalakkan orang ramai mencabut nyawa mereka sendiri sewenang-wenangnya. Kebuntuan dan kepayahan dalam mengharungi kehidupan sebagaimana hebat sekalipun tidak patut diakhiri dengan keputusan untuk menamatkan hayat mereka.
Bagaimanapun, jika dapat dibuktikan daripada keterangan fakta bahawa seseorang itu baru dalam peringkat membuat persiapan, maka dia tidaklah jatuh dalam Seksyen 309.
Misalan I: Akong mahu membunuh diri, dia membeli sebilah pisau dan seutas tali. Dia menulis sepucuk surat dan meletakkannya di atas meja di rumahnya. Sedang Akong bersiap untuk melilitkan tali dan menggunakan pisau yang masih dalam bungkusan Kitam ternampak dan menegah. Ini baru peringkat persiapan dan masih belum sampai ke tahap percubaan.
Misalan II: Akong telah membeli pisau dan tali. Selepas mengikat tali di tiang rumahnya dan juga telah memegang pisau yang baru dibeli itu. Semasa menikam dadanya pisau itu patah. Akong hanya terluka sedikit dan Kitam pun tiba untuk menyelamatkannya. Ini telah sampai peringkat percubaan. Ia adalah salah di bawah Seksyen 309.
Manakala Seksyen 306 Kanun Keseksaan menyebut; Jika mana-mana orang membunuh diri, sesiap sahaja membantu (abets) perlakuan membunuh diri itu hendaklah dihukum penjara maksimum sepuluh tahun dan hendaklah dikenakan denda.
Dalam kesalahan ini orang yang membunuh diri itu mungkin tidak berapa pasti mahu membunuh diri ataupun mungkin tidak berat mahu melakukannya tetapi si pembantu tadi telah datang dan memberi khidmat dalam apa cara sekalipun sama ada mempermudahkan atau mendorong atau menggalakkan. Ini jika mengakibatkan orang tadi membunuh diri maka si pembantu boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen tersebut.
Bagaimanapun, jika seseorang yang berumur di bawah 18 tahun dan tiada upaya untuk berfikir sendiri demi kebaikan, atau mana-mana orang yang mabuk telah membunuh diri ekoran daripada sumbangan pembantu tadi maka si pembantu tersebut boleh dihukum di bawah seksyen ini. Hukumannya adalah mati atau penjara tidak kurang dari 20 tahun dan juga denda.
Hukuman berat ini memandangkan kategori orang dalam Seksyen 305 ini adalah orang yang bawah umur dan keadaan mental yang kurang upaya. Maka melakukan sesuatu sehingga orang itu menamatkan nyawanya adalah suatu perbuatan terkutuk dan tidak boleh dimaafkan. Sedangkan orang yang cukup sifat dan sihat tubuh badan adalah bertanggungjawab untuk melindungi orang yang lemah dan kurang upaya. Oleh itu, hukuman yang berat adalah dikenakan terhadap orang yang tidak berperikemanusiaan ini.
- PENULIS adalah seorang pakar Undang-Undang Jenayah, Kriminologi dan Keadilan Jenayah dan kini berkhidmat sebagai Profesor Madya di Fakulti Undang-Undang, UiTM. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
susah gak nak mendalami orang2 yang cuba nak bunuh diri nih
dier yang decide nak bunuh diri....kalau kene hukum pon tak kisah sangat kot |
|
|
|
|
|
|
|
Penjara sehingga 1 tahun
Originally posted by Syd at 6-5-2007 01:07 PM
Bunuh diri: Adakah kesalahan jenayah?
Oleh: A. HALIM SIDEK
DIANGGARKAN sebanyak 2,000 orang membunuh diri setiap tahun seperti yang pernah diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi ... |
|
|
|
|
|
|
|
Reply #1 Syd's post
Yup...bunuh diri memang satu jenayah sebab hanya badan berkuasa ajer yang bole jatuhkan hukuman mati...even tuan punya badan pun takleh amik nyawa sendiri...so moralnya, kalau nak bunuh diri anda sekalipun, pastikan buat sampai mati! |
|
|
|
|
|
|
|
aku tak paham nih..
'Jika seseorang yang melakukan perbuatan membunuh diri itu berjaya melaksanakan pembunuhan diri itu dan dia akhirnya mati, maka undang-undang tidak menjadikan itu suatu kesalahan.'
aku tak paham apa yg penulis nak... membunuh diri adalah kesalahan dan dijatuhkan hukuman bukan setakat cubaan membunuh diri saja
sekiranya orang tuh berjaya membunuh diri apa lagi hukuman nak dikenankan pada orang yg dah mati... hancurkan mayatnya sebagai hukuman....?
klu cubaan membunuh diri logik ler sbb tuan punya diri masih hidup dan boleh menginsafi diri dier... |
|
|
|
|
|
|
|
Reply #5 rambutan's post
Yup...itulah yang dimaksudkan..kesalahan cubaan bunuh diri...kalau dah mati kena hukuman akhirat pulak. |
|
|
|
|
|
|
|
Betul ke.. kalo org islam bunuh diri, dia xkan d tanam d tanah perkuburan org islam? :hmm: |
|
|
|
|
|
|
|
Reply #7 Lynnie's post
Rasenya soalan camni lebih seswai ditanya dalam board Muslimin & Muslimat ler dik... |
|
|
|
|
|
|
|
Originally posted by rambutan at 8-5-2007 02:21 PM
aku tak paham nih..
'Jika seseorang yang melakukan perbuatan membunuh diri itu berjaya melaksanakan pembunuhan diri itu dan dia akhirnya mati, maka undang-undang tidak menjadikan itu suatu kes ...
maksudnya kesalahan ini hanya ada kategory "attempt to commit".... kita biasa kesalahan ni ada kesalahan penuh dimana perbuatan jenayah itu dapat dilakukan... mcm murder, rogol, curi...... dan ada "attempt to commit" atau "cubaan untuk melakukan"... iaiatu dimana perbuatan jenayah tu belum di lengkapkan kerana tak memenuhi elemen2 jenayah untuk menjadikannya suatu perbuatan jenayah lengkap, tetapi memenuhi ingredient yg menjadikannya suatu "attempt"... bunuh diri hanya boleh jadi jenayah "attempt to".. kerana apabila org tu dah berjaya membunuh diri., tamatlah riwayatnya sebagai manusia dan takder possibility langsung untuk disabitkan dengan kesalahan.. undang2 tak boleh menyabitkan sebuah mayat dengan kesalahan. tu lah yg cuba disampaikan...
so membunuh diri adalah suatu perbuatan yg bodoh... kalau mati - mati katak.. kalau hidup - kena charge kesalahan jenayah pula..... |
|
|
|
|
|
|
|
"Rasenya soalan camni lebih seswai ditanya dalam board Muslimin & Muslimat ler dik..."
Ade sangkut paut la bang... |
|
|
|
|
|
|
|
Reply #10 Lynnie's post
hi lynnie. just trust him - untuk context soalan u tu, mmg kat bod sana lebih ramai yg expert. |
|
|
|
|
|
|
|
Originally posted by Lynnie at 9-5-2007 09:07 AM
"Rasenya soalan camni lebih seswai ditanya dalam board Muslimin & Muslimat ler dik..."
Ade sangkut paut la bang...
Memang ler dik tapi nie BOD legal, kalau BOD agama ade tempatnya....
Originally posted by fairy_hobbit at 9-5-2007 01:06 PM
hi lynnie. just trust him - untuk context soalan u tu, mmg kat bod sana lebih ramai yg expert.
Takpe FH, die nie adik angkat..memang suke carik pasal dengan aku... |
|
|
|
|
|
|
|
Originally posted by rurouni_khairul at 9-5-2007 05:37 PM
Takpe FH, die nie adik angkat..memang suke carik pasal dengan aku...
heheh xde la bro.. saje je nak tau ...kot2 ade info on that
sory t'keluar dr tajuk.. :malu: |
|
|
|
|
|
|
|
Memprofil Mangsa Bunuh Diri
Oleh Melati Mohd Ariff
Rencana ini ialah bahagian pertama daripada tiga siri
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Hakikat satu kajian! Daripada 113 kes bunuh diri yang dilaporkan di Malaysia dalam tempoh Julai-Disember 2007, 82 ialah lelaki dan 41 daripadanya sudah berumah tangga.
Bilangan yang mengejutkan ini didokumenkan oleh Daftar Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NSRM) untuk tempoh enam bulan itu.
Bagi individu berkenaan, peristiwa hidup yang paling lazim menghimpit perasaan mereka ialah masalah dengan pasangan intim mereka. Kejadian kehidupan lain ialah masalah kewangan, perundangan dan yang berkaitan dengan kerja.
Ini berbeza sekali dengan mangsa bunuh diri wanita, kerana berdasarkan analisis gender, 16 daripada 31 yang direkodkan adalah bujang sementara sembilan yang lain sudah berkahwin.
"Kebiasaannya, lelaki lebih nekad apabila mahu membunuh diri. Wanita tidak begitu, jadi mereka ini masih boleh diselamatkan. Bagaimanapun, trend ini perlu dikaji dengan lebih mendalam dan diperhatikan untuk tempoh yang lebih panjang.
"Laporan sulung NSRM ini hanya meliputi tempoh enam bulan," demikian kata Dr Nor Hayati Ali, penyiasat utama NSRM dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya baru-baru ini.
Beliau turut memberi contoh, data dari Amerika dan Taiwan menunjukkan bahawa bukanlah status 'berkahwin' yang menjadi risiko, tetapi masalah rumah tangga seperti perpisahan sementara atau perceraian yang akan meningkatkan risiko itu.
Dr Nor Hayati menjelaskan bahawa data yang terkandung di dalam laporan NSRM 2007 dikumpulkan melalui usaha bersepadu membabitkan jabatan forensik di hospital di bawah Kementerian Kesihatan.
Dr Nor Hayati berkata data itu secara beransur-ansur akan diperluas untuk meliputi hospital di bawah Kementerian Pelajaran.
OPERASI NSRM
Menurut beliau, NSRM ditubuhkan secara rasmi pada awal 2007 untuk mengumpul data kematian akibat "tindakan mencederakan diri sendiri secara sengaja dan membawa maut" menerusi rangkaian perkhidmatan forensik.
Ia membabitkan pelbagai peringkat kakitangan di jabatan forensik atau unit masing-masing dan kes akan disahkan oleh Pakar Perubatan Forensik.
Pengumpulan data yang dibuat pada 2007 adalah cubaan awal, jelasnya.
Projek NRSM ini, kata Dr Nor Hayati dapat diusahakan setelah menerima peruntukan penyelidikan daripada Kementerian Kesihatan pada tahun yang sama. Ia ditaja oleh Perkhidmatan Perubatan Forensik serta Perkhidmatan Psikiatri dan Kesihatan Mental. Kepakaran teknikal pula disediakan oleh Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC).
Pada 2008, Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan menyertai usaha ini untuk melakukan penyelidikan lanjut dalam bidang berkaitan.
"Matlamat NSRM ialah untuk menyediakan statistik lengkap bunuh diri di Malaysia dengan mewujudkan satu sistem di seluruh negara bagi merekod data mengenai mangsa bunuh diri di negara ini.
"Maklumat ini penting bagi pengendalian urusan kesihatan dan mengenal pasti bidang yang perlu diberi perhatian oleh penyedia perkhidmatan kesihatan," kata Dr Nor Hayati yang juga Pakar Perunding Psikiatri dan Ketua Jabatan, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kajang.
ANALISIS DATA
Menurut Dr Nor Hayati, berdasarkan 113 kes yang didokumen oleh NSRM, kebanyakan mangsa bunuh diri (95 orang atau 87 peratus) ialah rakyat Malaysia sementara selebihnya orang asing termasuk warga negara Nepal (3), Indonesia (6), Filipina (1), Singapura (1) and Myanmar (1).
Dalam kalangan rakyat Malaysia itu, katanya, kaum Cina paling ramai, (47 orang atau 43 peratus), diikuti India (31 orang atau 27 peratus) dan Melayu (12 orang atau 11 peratus) diikuti kumpulan pribumi dari Malaysia Timur (sembilan orang atau 8 peratus) dan lain-lain (10 orang atau sembilan peratus).
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa angka-angka yang dipetik ialah "angka mutlak" yang tidak setepat "kadar bunuh diri".
Menurut beliau lagi, data daripada penyelidikan terdahulu secara konsisten menunjukkan kadar bunuh diri paling tinggi dalam kalangan masyarakat India, ekoran daripada kes bunuh diri yang tinggi di sebalik jumlah penduduknya yang lebih kecil.
"Kadar bunuh diri hanya boleh dikira apabila kita mempunyai data untuk satu tahun penuh yang NSRM boleh sediakan daripada data 2008," katanya.
Dr Nor Hayati memberitahu Bernama bahawa berdasarkan Laporan NSRM 2007, majoriti mangsa bunuh diri (57 peratus) ialah mereka yang bekerja, sementara 27 peratus lagi menganggur.
Selebihnya sama ada bekerja separuh masa atau pekerja sambilan, bersara, menerima pencen ilat sementara 3 peratus lagi adalah suri rumah, katanya.
LAGI DATA
Menurut Dr Nor Hayati, analisis NSRM seterusnya menunjukkan sembilan pelajar (enam perempuan dan tiga lelaki) ialah dalam kalangan 113 mangsa bunuh diri.
"Hanya seorang Melayu, berusia 22 tahun sementara yang lainnya lima berketurunan India, dua Iban dan seorang Murut (umur antara 12 hingga 17 tahun).
"Masalah sekolah dikatakan sebagai punca bunuh diri di dalam dua kes, masalah pasangan intim di dalam dua lagi kes, sementara yang lainnya, tidak ada kejadian kehidupan yang dikenal pasti," tambahnya.
Kata beliau, daripada 113 kes bunuh diri, 88 peratus "Meninggal Dunia Ketika Dibawa" (BID) oleh polis untuk pemeriksaan bedah siasat, 11 peratus meninggal dunia di wad dan 1 peratus meninggal dunia di jabatan kecemasan.
"Mereka yang meninggal dunia di wad dan unit kecemasan ialah mereka yang melalui proses pemulihan semula (resusitasi) dan kebanyakan daripada kes ini menggunakan kaedah pengambilan racun.
"Mereka tidak menemui ajal serta merta dan dihantar ke hospital oleh waris mereka. Bagaimanapun, akibat komplikasi tindakan membunuh diri itu, organ penting di dalam tubuh mereka gagal berfungsi dan ini kemudian menyebabkan mereka meninggal dunia," jelasnya.
FAKTA BUNUH DIRI
Seramai 73 daripada 113 mangsa bunuh diri di kediaman sendiri dengan seorang lagi berbuat demikian di rumah teman wanitanya sementara seorang yang lain, di rumah jirannya.
Lokasi lain termasuk ladang, bangunan komersil, sekolah, tanah perkuburan dan jalan raya/lebuh raya.
"Kemungkinan besar sebab mereka membunuh diri di kediaman sendiri, mungkin kerana akses mudah dan jaminan tiada gangguan.
"Memandangkan kejadian kehidupan yang paling lazim ialah masalah pasangan intim, kediaman sendiri mungkin menjadi lokasi pilihan membunuh diri kerana di situlah keperitan masalah ini paling teruk dirasakan," kata Dr Nor Hayati.
KAEDAH BUNUH DIRI
Dari segi kaedah bunuh diri, data NSRM melaporkan kaedah bunuh diri yang menjadi pilihan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah menggantung diri, menjerut dan kelemasan.
Daripada 113 kes, 58 (47 lelaki, 11 wanita) menemui ajal dengan kaedah yang disebutkan tadi, diikuti meminum racun serangga (11 lelaki, 7 wanita) dan melompat dari tempat tinggi (10 lelaki, 6 wanita).
Kaedah lain bunuh diri yang dianalisis termasuk terdedah kepada gas dan wap lain (asap, api), mati lemas, melompat atau berbaring di hadapan objek yang bergerak, objek tajam dan refal atau senapang patah.
"Dari segi kaedah dibandingkan kaum, data menunjukkan kaedah membunuh diri paling lazim bagi semua kumpulan etnik (Cina, India dan Melayu) ialah dengan menggantung diri.
"Ini mungkin kerana akses mudah dan senang untuk menggantung diri. Kaedah kedua paling lazim yang dipilih oleh mangsa bunuh diri keturunan Cina dan Melayu ialah terjun dari tempat tinggi. Mangsa bunuh diri keturunan India pula lebih cenderung meracun diri," kata Dr Nor Hayati.
Beliau berkata berdasarkan temu ramah dengan 'pemberi maklumat', 72 kes daripada 113 tidak menunjukkan sebarang tanda atau memberitahu sesiapa yang mereka mahu menamatkan riwayat hidup mereka.
Menurut beliau lagi, hanya 20 peratus ada menyatakan niat untuk membunuh diri dan kaedah yang paling kerap digunakan ialah secara lisan.
Tambahnya, jumlah kes mungkin nampak kecil kerana NSRM memberi fokus kepada kes-kes yang mempunyai "banyak bukti" yang menunjukkan kecederaan itu dilakukan sendiri.
Beliau berkata terdapat juga kes yang "niat tidak dapat ditentukan" yang tidak dimasukkan ke dalam pangkalan data.
"Data mengenai kategori kematian ini mungkin boleh dikumpul pada masa depan sekiranya Malaysia mempunyai sistem melapor kematian bukan semula jadi peringkat kebangsaan.
"Di samping itu, dengan penambahbaikan beransur-ansur khidmat forensik, sebagai contoh dengan mempunyai kakitangan yang dilantik untuk mengendalikan dokumentasi kematian serta prasarana lebih baik seperti menyediakan tempat khas untuk keluarga di temu bual dan kualiti data boleh diperbaik," jelasnya.
FAKTOR BERISIKO UNTUK BUNUH DIRI
Menurut Dr Nor Hayati, berdasarkan kajian terdahulu mengenai kematian akibat membunuh diri, beberapa faktor berisiko dikenalpasti mempunyai kaitan dengan risiko bunuh diri, iaitu sejarah cubaan bunuh diri, penyalahgunaan dadah, penyakit fizikal yang kronik, penyakit mental dan peristiwa hidup yang penting.
"Ramai individu mengalami faktor berisiko yang disebutkan tadi tanpa menimbang mahu membunuh diri. Justeru, faktor berisiko ini berguna untuk mengenal pasti kumpulan sasaran untuk program pencegahan bunuh diri tetapi bukan menentukan individu mana dalam kalangan kumpulan itu yang akhirnya akan maut akibat membunuh diri.
"Kes-kes yang dikenalpasti NSRM pada 2007 menunjukkan kebanyakan mangsa bunuh diri tidak mempunyai sebarang sejarah cubaan bunuh diri terdahulunya," katanya.
"Ini mungkin kerana hakikat ramai di antara pemberi maklumat atau waris tidak berhubung rapat dengan simati dan tidak tahu-menahu tentang tingkah laku atau cubaannya untuk membunuh diri sebelum itu," katanya.
PENYAKIT MENTAL DAN FISIKAL
Menurut Dr Nor Hayati, apabila membandingkan pelbagai jenis punca, kecelaruan mental secara konsistennya ditemui dalam kes mereka yang berjaya membunuh diri.
Jelasnya banyak kajian mengenalpasti kecelaruan mood terutamanya kemurungan sebagai kecelaruan paling banyak dialami oleh mereka yang menemui ajal dengan membunuh diri, dari 30 hingga 70 peratus.
"Kecelaruan lain yang banyak dikesan dalam kalangan mereka yang berjaya membunuh diri berbanding penduduk am termasuk penyalahgunaan dadah dan skizofrenia.
"Malahan bagi individu yang memang menghidapi gangguan mental, gejala penyakit itu tidak semestinya menjadi penyebab utama mereka membunuh diri," jelasnya.
Sebaliknya, kata Dr Nor Hayati, kadar bunuh diri yang tinggi dalam kalangan pesakit psikiatri dikaitkan dengan faktor sosial, umpamanya, kerap menyendiri dan penyalahgunaan dadah berbahaya.
Katanya, dari satu sudut lain, aspek didiagnos dengan masalah kesihatan mental mungkin ada kaitan.
KESAN NEGATIF PELABELAN
Kajian mengenai stigma, jelas beliau, mencadangkan bahawa reaksi terhadap orang lain serta peminggiran masyarakat yang berpunca daripada pelabelan negatif mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental adalah amat penting.
Menurutnya, keengganan dilabel sebagai "sakit mental" mungkin menjelaskan mengapa hanya 7.1 peratus mangsa bunuh diri dilapor mengidap sakit mental, dua lagi mangsa mengalami kemurungan dan seorang mengidap skizofrenia.
Dr Nor Hayati berkata meskipun sesetengah pemberi maklumat menyedari mangsa suka menyendiri atau 'tidak boleh bekerja dengan betul' sebelum kematian mereka, mangsa tidak mendapatkan sebarang rawatan formal psikiatri.
Majoriti mangsa bunuh diri (79 atau 69.9 peratus) dilapor tidak mempunyai sejarah keluarga penyakit mental.
Beliau menjelaskan bahawa bagi penyakit fizikal, kajian di Amerika Syarikat menunjukkan hubungan kuat wujud antara penyakit 'terminal' atau yang boleh membawa maut dengan bunuh diri. Bagaimanapun, menderita penyakit terminal bukanlah punca yang mencukupi untuk membunuh diri.
Kumpulan individu berkenaan, kata Dr Nor Hayati, mengalami kemurungan, berpunca akibat dipinggirkan masyarakat dan tekanan menghidap penyakit terminal.
"Meskipun NSRM cuba bertanyakan kepada pemberi maklumat berhubung kehadiran penyakit fizikal, ia hanya dilaporkan dalam 6.2 peratus kes dan itu pun sebenarnya penyakit kronik, contoh diabetes dan penyakit jantung," katanya.
-- BERNAMA |
|
|
|
|
|
|
|
Agama Boleh Bendung Cubaan Bunuh Diri
Ini ialah bahagian kedua daripada tiga siri rencana.
Oleh Melati Mohd Ariff
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Krisis bunuh diri mungkin menimpa individu yang mengalami penderitaan emosi atau fizikal.
Bagi golongan ini, mereka tidak lagi sanggup menanggung penderitaan atau yakin tidak ada lagi jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi. Mereka juga mungkin merasakan masalah itu tidak akan berakhir.
Demikian pandangan Dr Nor Hayati Ali, penyiasat utama Daftar Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NSRM). Beliau juga merupakan pakar perunding dan ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kajang.
Dr Nor Hayati menjelaskan bahawa individu yang sudah tidak sanggup menanggung penderitaan berada dalam situasi di mana penderitaan emosi atau fizikal sudah sampai kepada paras yang dia tidak lagi sanggup menahannya.
"Bagi golongan ini mereka percaya tidak ada jalan penyelesaian bagi derita emosi atau fizikal yang dialami, mereka sudah tidak nampak jalan keluar untuk merungkai masalah yang mendatangkan penderitaan kepada mereka.
"Individu yang mengalami derita emosi atau fizikal yang agak lama pula menjangka keadaan yang mendatangkan penderitaan tidak akan berubah dengan sendiri.
"Ini mencerminkan rasa putus asa yang juga pencetus risiko bunuh diri," kata Dr Nor Hayati dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Hospital Kajang baru-baru ini.
PERANAN AGAMA
Pakar psikiatri ini berpendapat pegangan agama dan keimanan individu boleh melindungi seseorang itu daripada terdorong untuk membunuh diri.
"Agama menekankan tingkah laku yang soleh dengan kepercayaan bahawa Tuhan akan sentiasa bersama kita dalam apa jua keadaan. Ini sudah tentunya menjadi penawar kepada sebarang perasaan kecewa atau putus asa.
"Bagaimanapun, sekiranya seseorang pesakit itu mengalami kecelaruan mental atau satu kejadian kehidupan yang amat hebat, ini mungkin akan menjejaskan kemampuannya untuk membuat pilihan," jelasnya.
Pada peringkat ini, kata Dr Nor Hayati, anggota keluarga, kawan rapat serta masyarakat mempunyai peranan utama untuk memastikan individu berkenaan tidak merasa terpinggir atau disisih.
"Individu ini amat memerlukan perhatian dan bantuan segera," katanya.
MENCEGAH BUNUH DIRI
Dr Nor Hayati menjelaskan seterusnya bahawa kajian telah menunjukkan satu daripada kaedah pencegahan bunuh diri yang berpotensi yang boleh diketengahkan dikenali sebagai latihan 'gatekeeper'.
'Gatekeepers', katanya adalah mereka yang mungkin bertembung atau bersemuka dengan individu yang mahu membunuh diri, dalam urusan kerja mereka seharian seperti pegawai polis, guru agama, pegawai penjara, guru dan kakitangan sekolah, pekerja kebajikan dan doktor.
Sering kali, individu berkenaan menerima latihan yang sedikit atau tidak mendapat sebarang latihan khusus dalam mengenal pasti risiko bunuh diri dan bagaimana mereka boleh membantu individu tertentu.
"Latihan Gatekeeper ini bukan sahaja membabitkan maklumat mengenai cara menilai risiko serta pengendalian segera individu yang mempunyai naluri bunuh diri.
"Ia juga secara umumnya menyediakan maklumat mengenai perujukan serta bantuan yang boleh diperoleh daripada perkhidmatan lain dalam kalangan masyarakat mereka, termasuk rawatan untuk kemurungan, ketagihan arak dan penyalahgunaan najis dadah," katanya.
Dr Nor Hayati turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah perlu ke arah pencegahan bunuh diri, satu daripadanya ialah dengan menggalakkan pihak media supaya menyiarkan laporan yang lebih bertanggungjawab.
"Individu yang mungkin terdahulunya pernah menyimpan niat untuk membunuh diri tetapi menukar fikiran apabila memikirkan kesan negatifnya, boleh terpengaruh apabila melihat satu-satu kes bunuh diri yang dipaparkan oleh media dengan begitu hebat, seolah-olah tindakan membunuh diri itu diterima media," katanya.
Fenomena ini dipanggil sebagai "peniru bunuh diri" atau "kesan berjangkit".
Oleh itu adalah amat penting bagi akhbar tidak menjadikan bunuh diri sebagai satu berita sensasi atau menyiarkan laporan yang terlalu terperinci mengenai kes cubaan bunuh diri atau kes bunuh diri, katanya.
MINDA ANDA KESIHATAN ANDA
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan kesihatan sebagai keadaan lengkap fizikal, mental dan kesejahteraan sosial dan bukan semata-mata tiada penyakit.
Justeru, menurut Dr Nor Hayati, kesihatan mental yang merujuk kepada fungsi minda adalah komponen penting kesihatan seseorang individu.
"Individu yang mempunyai kesihatan mental yang baik sering merasa seronok dengan dirinya. Mereka juga merasa senang dengan orang lain termasuk dalam jalinan hubungan peribadi serta mampu memenuhi tuntutan hidup," jelasnya.
Beliau berkata individu yang mempunyai kesihatan mental yang tidak memuaskan biasanya merasa tidak gembira, berada dalam keadaan lemah dan sangsi dengan kehidupan semasa juga masa depan mereka.
Katanya individu itu juga mempunyai rasa harga diri yang rendah di samping merasa diri terpinggir daripada masyarakat.
Individu-individu berkenaan juga merasa terhimpit dengan kejadian kehidupan yang buruk dan sering merasa tekanan hidup yang tidak dapat dikawal.
"Kemurungan adalah penyakit fizikal yang menjejaskan otak, menyebabkan ketidakseimbangan kimia di kawasan yang mengawal fungsi biologikal dan sosial," katanya.
Menurut beliau, kajian dalam "kualiti kehidupan" menunjukkan kemurungan mempunyai impak yang lebih serius ke atas kemampuan seseorang untuk berfungsi, seperti mengingati sesuatu, membuat keputusan atau pergi bekerja apabila dibandingkan dengan penyakit kronik yang lain.
Dr Nor Hayati berkata jika seseorang itu terlalu uzur untuk mengenal pasti kesulitan yang dialaminya, keluarga dan rakan individu itu disarankan agar membantu beliau mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
DAPATKAN RAWATAN
Dr Nor Hayati juga mengakui bahawa persepsi negatif terhadap orang yang mengalami kesukaran kesihatan mental mungkin menyebabkan orang berkenaan enggan tampil mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun, keadaan itu dijangka beransur-ansur berubah kerana lebih banyak bukti saintifik menunjukkan kecelaruan mental mempunyai asas biologikal di dalam otak, dan ia bukan setakat 'kelemahan kerohanian'.
"Dalam kebanyakan kes, mereka boleh didiagnos dan dirawat. Kebanyakan kemudahan kesihatan di Malaysia mempunyai pelbagai jenis ubatan yang boleh digunakan untuk merawat kemurungan. Jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh mendatangkan penderitaan bukan sahaja kepada individu berkenaan tetapi juga keluarga dan masyarakat," katanya.
Dr Nor Hayati menasihatkan: "Sekiranya orang yang berhasrat mahu membunuh diri datang kepada anda untuk mendapatkan bantuan, kemungkinannya individu itu percaya anda adalah lebih penyayang dan anda lebih mengetahui bagaimana cara untuk menghadapi kesukaran hidup.
"Mereka juga mungkin menjangkakan bahawa anda mampu untuk merahsiakan apa yang mereka ingin kongsikan. Walaupun apa yang diluahkan kepada anda mungkin begitu teruk dan negatif, individu itu tetap mempunyai pandangan yang positif terhadap anda."
Menurut beliau terdapat banyak langkah kecil yang dapat kita lakukan untuk membantu mereka yang mahu membunuh diri dan untuk memudahkan mereka mendapatkan bantuan.
"Biarpun kecil, langkah-langkah ini boleh menyelamatkan banyak nyawa dan mengurangkan penderitaan manusia," kata Dr Nor Hayati.
MASING-MASING BERPERANAN
Dalam menangani isu bunuh diri, Dr Nor Hayati percaya setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan.
Beliau turut menyokong usaha Kementerian Kesihatan yang menjalin kerjasama dengan agensi-agensi lain yang menawarkan bantuan kepada mereka yang mahu membunuh diri seperti pertubuhan bukan kerajaan 'The Befrienders'.
"Dengan lebih banyak data dihasilkan oleh NSRM, diharapkan kita dapat menyebarkan pemahaman asas terhadap faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang sakit mental.
"Maklumat itu juga boleh membantu memahami faktor yang menyebabkan meningkatnya risiko untuk seseorang itu membunuh diri di Malaysia," katanya.
Menurut Dr Nor Hayati, pengetahuan tertentu perlu juga disediakan mengenai ke mana orang yang berisiko tinggi perlu dihantar untuk mendapatkan penilaian dan rawatan lanjut serta pentingnya menjalani rawatan susulan.
"Membantu orang untuk mempelajari kemahiran menyelesaikan masalah dan konflik serta mengendalikan pertelingkahan tanpa membabitkan sebarang unsur ganas juga menyumbang kepada pencegahan bunuh diri," jelas beliau.
-- BERNAMA |
|
|
|
|
|
|
|
Bunuh Diri: Realiti Yang Perlu Diberi Perhatian
Bahagian akhir daripada rencana tiga siri
Oleh Melati Mohd Ariff
PETALING JAYA, 19 Mac (Bernama) -- Statistik yang mencemaskan! Kira-kira 20 peratus daripada mereka yang menghubungi Befrienders Kuala Lumpur ialah mereka yang mahu membunuh diri.
Kira-kira 30 peratus pula berumur bawah 30 tahun, kumpulan umur yang dikenal pasti kumpulan berisiko tinggi untuk membunuh diri.
Enam puluh peratus terdiri daripada wanita manakala selebihnya lelaki. Tiga puluh tiga peratus telah berkahwin. Dari segi kaum, 49 peratus kaum Cina, India 32 peratus dan Melayu 15 peratus.
Statistik di atas ialah sebahagian daripada analisis yang dibuat terhadap 21,144 yang berhubungan dengan Befrienders Kuala Lumpur pada 2007.
Befrienders Kuala Lumpur ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan khidmat kaunseling untuk yang mereka yang berputus asa dan mahu membunuh diri.
Daripada jumlah itu, 90 peratus berhubung menerusi talian hotline telefon 03-79568145. Selebihnya menerusi emel '[email protected]', pertemuan empat mata serta sewaktu sesi lawatan.
MASIH TABU
Bunuh diri masih satu tabu (kurang gemar disebut) di Malaysia tetapi ia realiti yang perlu diberi perhatian khususnya oleh masyarakat.
Menurut S. Gangadara Vadivel, pengerusi The Befrienders Kuala Lumpur, secara purata, terdapat tujuh kes bunuh diri sehari di Malaysia.
"Untuk setiap kes bunuh diri, terdapat 20 kes cubaan bunuh diri. Justeru, dianggarkan cubaan bunuh diri sehari ialah 140 kes. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesahkan angka-angka ini.
"Isu ini satu kenyataan dan kita perlu menanganinya. Pihak Befrienders tidak boleh melakukannya sendirian. Kita memerlukan bantuan masyarakat dan pihak berkuasa berkenaan," katanya.
Gangadara berkata bahawa memandangkan bunuh diri masih satu subjek tabu, organisasinya perlu mengadakan kempen kesedaran untuk mendidik orang ramai.
"Di samping Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBBJ), kami juga menghubungi persatuan penduduk bagi menyedarkan mereka agar isu ini ditangani bersama.
"Kamu turut pergi ke sekolah, kolej, NGO lain serta pertubuhan agama, tanpa mengira kepercayaan," katanya.
TRAGEDI SIA-SIA
"Tragedi yang sia-sia!" begitu ungkapan Gangadara yang juga Presiden Majlis Kebangsaan Befrienders Malaysia apabila mengulas selanjutnya tentang bunuh diri. Bagi beliau, bunuh diri boleh memberi kesan kepada semua anggota masyarakat.
Katanya bunuh diri boleh dihalang dan bagi mereka yang cuba membunuh diri, tindakan mereka itu sebenarnya adalah jeritan untuk mendapatkan bantuan.
Gangadara berkatahu terdapat empat faktor yang mendorong seseorang itu membunuh diri, iaitu putus asa, tidak berdaya, derita emosi dan rasa terasing.
Tambahnya, masalah yang dialami individu berkenaan pula mungkin masalah hubungan lelaki-perempuan, kewangan, perkahwinan serta seksual serta kesulitan menyesuaikan diri dengan kehidupan baru khusus bagi mereka yang berhijrah dari kampung ke bandar.
"Masalah itu mungkin kecil atau remeh bagi seseorang tetapi untuk orang lain ia mungkin satu yang serius dan tidak tertanggung. Kekusutan emosi ini pelbagai dan itulah sebabnya mengapa kami mengambil serius setiap panggilan, setiap masalah.
Katanya, dua peratus daripada 21,144 kontak ke Befrienders pada 2007 adalah dari golongan warga emas tetapi beliau percaya jumlah tersebut mungkin lebih besar.
"Pihak kami cuba mendekati mereka menerusi kumpulan warga emas serta organisasi lain seperti Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM) memandangkan ramai orang tua yang diserang strok," tambahnya.
Sehingga kini, Befrienders mempunyai tujuh pusat iaitu di Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Melaka, Johor Baharu dan Kota Kinabalu.
Selain daripada dua kakitangan sepenuh masa, pusat Befrienders Kuala Lumpur dikendalikan selebihnya oleh sukarelawan.
"Penduduk tempatan mengambil inisiatif menubuhkan pusat Befrienders dan sukarelawan terlatih mengendalikannya. Kebanyakan pusat ini beroperasi selepas waktu pejabat," katanya sambil menjelaskan bahawa pusat di Pulau Pinang dan Ipoh kini beroperasi 24 jam pada hujung minggu.
Gangadara berkata NGO ini menyediakan bantuan dan latihan kepada mana-mana kumpulan tempatan yang berhasrat menubuhkan pusat Befrienders.
Pada pandangan beliau, terdapat keperluan menubuhkan pusat berkenaan di pantai timur memandangkan sejak akhir-akhir ini terdapat laporan cubaan kes bunuh diri yang disiarkan media.
KHIDMAT MASYARAKAT
Befrienders turut melebarkan jaringan bantuannya menerusi program khidmat masyarakat di mana komuniti ladang getah dan kelapa sawit adalah satu daripada komuniti yang diberi perhatian.
"Dalam isu bunuh diri ini, Kementerian Kesihatan mengenal pasti tiga kumpulan berisiko tinggi iaitu golongan muda (antara umur 15 hingga 25), warga emas dan komuniti perladangan.
"Komuniti perladangan adalah masyarakat yang tertutup dan terdapat banyak bahan kimia di situ. Untuk khidmat ini, kami bekerjasama dengan sebuah syarikat kimia kerana bahan kimia mereka digunakan untuk membunuh diri. Pihak kami turut bekerjasama dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perladangan (NUPW)," kata Gandadara.
Jabatan Kesihatan, katanya, mengenal pasti lima kawasan estet sebagai berisiko tinggi kes bunuh diri iaitu Kulim (Kedah), Telok Intan (Perak), Temerloh dan Cameron Highlands (Pahang) serta Bahau (Negeri Sembilan).
"Kebanyakan mereka ini tidak mempunyai cara untuk menghubungi kami. Bagi memudahkan mereka, kami melatih wakil-wakil estet untuk memberi kaunseling dan menjaga keperluan emosi masyarakat masing-masing.
"Kami memberi khidmat ini sejak 1996 memandangkan peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan komuniti ini. Setakat ini, kami mengadakan 5 sesi khidmat di pelbagai kawasan di seluruh negara," katanya.
Befrienders juga melakukan khidmat yang sama di sekolah dan kolej kerana golongan muda dikenalpasti sebagai kumpulan berisiko tinggi untuk membunuh diri.
"Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada kami bahawa seorang dalam lima orang remaja mengalami gangguan mental. Lazimnya masalah ini tidak diberi perhatian tetapi jika diberi perhatian, ia boleh dirawat.
"Jika tidak, ia boleh menjadi masalah serius dan apabila remaja ini mencapai usia 20an dan mengalami pelbagai tekanan kehidupan, keadaan mungkin menjadi bertambah buruk.
"Itu sebabnya mengapa kami bekerja rapat dengan profesional kesihatan mental yang juga menjadi panel perunding kami memandangkan kami ini bukan profesional dalam bidang berkenaan. Kami hanyalah kaunselor terlatih," kata Gangadara.
Katanya Befrienders Kuala Lumpur juga bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
PERLU LEBIH RAMAI SUKARELAWAN
Ibu pejabat Befrienders memerlukan RM110,000 setahun untuk membiayai operasinya. Di samping geran tahunan kerajaan sebanyak RM7,000, organisasi ini banyak bergantung kepada sumbangan orang ramai.
"Tidak banyak firma mahu mempunyai kaitan dengan isu bunuh diri. Di samping tugas mereka, sukarelawan kami perlu juga keluar untuk mendapatkan sumbangan derma. Banyak lagi yang boleh dilakukan sekiranya kami mempunyai kewangan yang lebih," katanya.
Befrienders Kuala Lumpur beroperasi 24 jam dan menerima antara 50 hingga 60 panggilan telefon sehari. Ia memerlukan lebih ramai sukarelawan. "Mengapa kami beroperasi 24 jam? Ini kerana panggilan telefon yang serius biasanya diterima selepas tengah malam dan kebanyakan panggilan dibuat selepas waktu pejabat.
"Kami terima semua panggilan telefon. Sebagai contoh, panggilan itu mungkin mengenai keganasan keluarga, jadi kami berikan sokongan awal. Tetapi kadang kala mereka mungkin perlukan nasihat undang-undang yang di luar daripada kelayakan kami. Kami hanya memberikan kaunseling emosi. Kami akan layan mereka berbual sehingga mereka akhirnya menyedari apa yang benar dan apa yang salah.
"Befrienders Kuala Lumpur mempunyai 106 sukarelawan sementara di pusat-pusat lain ada 290 orang tetapi ramai lagi diperlukan untuk menampung pembesaran program khidmat masyarakat. Sukarelawan kami terdiri daripada semua lapisan masyarakat, semua kaum dan pekerjaan. Sukarelawan termuda kami berusia 24 tahun sementara yang paling tua, 86 tahun," kata Gangadara. Beliau sendiri menjadi sukarelawan Befrienders sejak 33 tahun lalu.
Talian hotline krisis, katanya, begitu berkesan kerana mereka yang membuat panggilan tidak perlu memberitahu identiti mereka. Perkhidmatan yang diberikan adalah rahsia serta percuma.
"Ketanpanamaan dan kerahsian amat penting kerana bunuh diri masih satu tabu dalam semua masyarakat dan mempunyai stigma kepada orang yang melakukannya dan keluarganya. Panggilan yang diterima mungkin seringkas 10 minit dan sepanjang satu jam.
"Kami mengendalikan panggilan mengikut keperluan dan kami menggalakkan individu yang menelefon supaya membuat panggilan susulan. Kami bukan menyelesaikan masalah atau memberi nasihat. Kami hanya membincangkan opsyen dan menyerahkan kepada individu untuk mencaruemui penyelesaian sendiri," katanya.
Beliau menekankan tidak ada ahli pasif dalam Befrienders, organisasi yang akan menyambut ulang tahunnya yang ke-40 tahun depan. Setiap ahli perlu memberikan khidmat minimum tiga jam seminggu.
"Bagaimanapun kita sentiasa mengingatkan sukarelawan kita supaya tidak melakukan kerja sukarelawan mereka dengan membelakangkan kepentingan keluarga atau pekerjaan mereka," katanya.
Gangadara menyertai Befrienders apabila seorang rakan sepejabat membunuh diri.
"Selepas menyertai sesi penerangan Befrienders, barulah saya sedar yang kawan saya itu boleh dibantu. Beliau memang ada menunjukkan tanda-tanda orang yang dilanda kemurungan. Kalaulah kami tahu semuanya itu.
"Memang saya tidak pernah menyesal menyertai kumpulan ini kerana banyak yang saya pelajari. Apabila kita mengaplikasikan kaunseling, secara tidak langsung kita akan mengamalkannya dengan keluarga kita, juga di tempat kerja. Dan anda akan sentiasa menghormati perasaan orang lain," kata Gangadara.
SUKARELAWAN TERTUA
Sukarelawan Befrienders Kuala Lumpur yang paling tua, Evelyn Naidu, 86, telah menjadi sukarelawan organisasi ini sejak 20 tahun lalu.
Bertarung dengan kanser payu dara 10 tahun yang lalu, dia juga pernah menjadi sukarelawan untuk Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara yang terletak di Jalan Utara, Petaling Jaya.
Meskipun keluar masuk hospital akibat masalah tempurung lutut dan kecederaan buku lali, Evelyn tetap bersemangat tinggi apabila bercakap mengenai kerja sebagai sukarelawan.
"Kami di sini dilatih untuk mendengar masalah dan itulah yang kami lakukan pada kebanyakan masa. Mereka yang menelefon kami, kebanyakannya mempunyai masalah emosi dan perlu bercakap dengan seseorang yang berkecuali untuk meluahkan segala perasaan yang terpendam di hati mereka.
"Mereka ini tidak boleh bercakap dengan keluarga mereka, mereka tidak faham. Jika bercakap dengan kawan-kawan, akhirnya satu bandar akan tahu cerita mereka. Di sini semuanya adalah rahsia.
"Kita jadikan mereka sahabat kita. Kita akan bercakap dengan cara mereka itu gembira dan selesa. Peraturan penting di sini kita tidak memberi nasihat," tegas Evelyn yang telah hidup sebagai balu selama 35 tahun.
Evelyn berkata beliau akan meneruskan kerja sebagai sukarelan selagi terdaya dan akan hanya berhenti apabila "saya menutup mata."
Wanita yang gigih ini menggalakkan lebih ramai orang menjadi sukarelawan kerana baginya sukarelawan boleh membentuk keperibadian seseorang. "Ia membangunkan minda anda, cara anda berfikir dan cara anda melihat masalah orang lain."
-- BERNAMA |
|
|
|
|
|
|
|
Tekanan punca bunuh diri
Oleh Hafizah Iszahanid
[email protected]
Membunuh diri perlu dilihat sebagai masalah kesihatan.
Ahli keluarga dan rakan terdekat dapat membantu kerana, seseorang itu tidak membunuh diri secara tiba-tiba
KEJADIAN bunuh diri boleh disifatkan jenayah yang mungkin kurang popular berbanding samun dan rompak yang didedahkan hampir setiap hari, tetapi realitinya ia sememangnya membimbangkan kerana bilangan kes bunuh diri yang kian meningkat.
Buktinya di Malaysia sendiri, kejadian bunuh diri tidak lagi hanya membabitkan golongan dewasa yang dikaitkan dengan kematangan, tetapi juga anak kecil yang baru berusia 12 tahun!
Malah data yang dipetik sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam usaha membantu menangani kes ini, mendakwa ada sekurang-kurangnya tujuh kes bunuh diri sehari di Malaysia.
Golongan dewasa dihimpit masalah hutang atau perhubungan cinta dan keluarga, golongan remaja pula membunuh diri akibat faktor akademik seperti tekanan kerana gagal meraih 7A atau lebih dalam peperiksaan awam.
Jika sekitar tahun 1990-an dan sebelumnya, kes bunuh diri yang dilaporkan di negara ini membabitkan masyarakat India, sejak akhir-akhir ini bilangan orang Melayu Islam yang mengambil tindakan nekad membunuh diri pula kian meningkat biarpun ia diketahui boleh menyebabkan individu itu terkeluar daripada Islam.
Cubaan membunuh diri lebih tinggi di kalangan perempuan.
Pakar Runding Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari berkata, satu ketika dulu, dalam konteks Malaysia dan negara di Timur Tengah, kes bunuh diri lebih rendah jika dibandingkan dengan negara barat.
"Bagaimanapun, kebelakangan ini bilangan orang Melayu Islam yang bertindak membunuh diri semakin meningkat," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Jelas Dr Muhsin, walaupun kebanyakan pakar perubatan tidak mengaitkan faktor keimanan dan ketaatan beragama dengan tindakan membunuh diri, secara umum iman bukan faktor keseluruhan kes bunuh diri sebaliknya sebahagian daripada faktor.
"Agama adalah pendinding kepada masalah tekanan begini, sebab dalam Islam sudah menggariskan mereka yang mati dengan membunuh diri tidak akan masuk syurga," katanya.
[img] http://www.bharian.com.my/Sunday/Bmdua/20090329090256/mainpix3[/img]
Komplikasi cubaan bunuh diri adakalanya tidak boleh disembuhkan.
Statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lepas, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Bagi tempoh sama di Singapura, nisbahnya adalah 15 hingga 20 orang bagi setiap 100,000, juga mati sebab bunuh diri. Di Korea, negara yang mana statistik bunuh dirinya menjadi antara yang tertinggi di dunia, menyaksikan 15 hingga 44 rakyatnya mati bunuh diri.
Namun katanya, berbanding negara barat, data di Malaysia dan kebanyakan negara Asia mungkin kurang tepat kerana dalam kebanyakan laporan perubatan, tidak mencatatkan bunuh diri sebagai sebab kematian.
Sebaliknya, laporan perubatan menulis punca kematian adalah komplikasi perbuatan bunuh diri, misalnya mati kerana organ utama yang pecah akibat terjun dari bangunan tinggi. Atau mati kerana kehilangan banyak darah kerana tindakan melukakan diri sendiri.
Ada juga laporan perubatan hanya menuliskan punca kematian sebagai 'punca biasa' atau 'kematian biasa'. Justeru, masalah sebenar yang menyelubungi kematian itu tersembunyi menyebabkan data sebenar bunuh diri di Malaysia dan kebanyakan negara Asia tidak diketahui dengan jelas.
Umumnya, kematian disebabkan bunuh diri di negara Asia dilaporkan kepada polis. Bagaimanapun kematian kerana bunuh diri tidak dilaporkan sedemikian dalam laporan perubatan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan ia sebagai tindak balas masyarakat Asia yang dikenali memiliki budaya yang berbeza dengan warga barat. Warga Asia mengutamakan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Justeru kematian disebabkan bunuh diri selalunya disembunyikan bagi mengelak stigma sosio budaya terhadap keluarga yang masih hidup selain rentetan penyiasatan dan tindakan undang-undang berpanjangan.
Kata Dr Muhsin, sebenarnya, jumlah kematian di Malaysia disebabkan bunuh diri lebih banyak jika setiap kematian yang menimbulkan keraguan seperti terjun bangunan atau minum racun rumpai diselidiki secara terperinci.
"Kalau seseorang itu berhadapan dengan penyakit mental seperti skizofrenia, selalu kematiannya dikaitkan dengan penyakit berkenaan dan bukan kerana bunuh diri," katanya.
Berbanding dengan negara lain seperti United Kingdom atau Australia, setiap kematian yang meragukan diselidik melalui inkues keadilan dan disiasat dalam kes jenayah. Malah, ada kala inkues dimohon bertahun-tahun selepas kejadian. Di Malaysia, pula tiada istilah sebegitu dalam kes sebegini.
Jelas Dr Muhsin, data sebegini penting kerana berdasarkan data WHO, usia 15 ke 44 adalah usia kritikal untuk bunuh diri. Dalam masa yang sama juga usia itu disifatkan sebagai umur paling produktif. WHO juga menganggarkan satu juta orang akan membunuh diri untuk tahun-tahun pertama abad ini. Jumlah itu bersamaan dengan satu kematian untuk setiap 40 saat dan satu percubaan bunuh diri setiap tiga saat.
Di Malaysia, dalam kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006 mendapati daripada 14,000 responden yang mengalami masalah mental, 20 peratus adalah kanak-kanak manakala 11 peratus adalah dewasa. Enam peratus responden terfikir untuk bunuh diri manakala 25 peratus terasa hendak bunuh diri.
"Data ini menunjukkan kecenderungan besar membunuh diri di kalangan remaja dan golongan muda selari dengan laporan media massa yang banyak melaporkan kes bunuh diri. Kebanyakan remaja membunuh diri kerana tidak lulus peperiksaan.
"Saya sendiri pernah menangani kes remaja 16 tahun yang rasa kecewa dengan persekitaran di sekolahnya, kerap diejek dan rasa tidak harapan untuk memperbaiki hubungan dengan persekitarannya. Dia rasa terasing dan akhirnya cuba membunuh diri," katanya.
Walaupun ada faktor lain misalnya masalah perhubungan, namun kebanyakan golongan remaja dalam lingkung usia 12 ke 20 tahun, masalah dalam akademik seperti harapan dan tekanan daripada ibu bapa yang tinggi dan sistem persekolahan yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan mereka murung dan akhirnya bertindak membunuh diri.
Bagi golongan berusia 40 tahun ke atas pula, faktor ekonomi selain masalah rumah tangga menjadi penyebab.
"Kemelesetan ekonomi memang antara faktor peningkatan bunuh diri. Kemelesetan ekonomi boleh menyebabkan banyak hutang, hilang pekerjaan, bankrap yang akhirnya membuat seseorang itu tertekan dan menyebabkan mereka memilih untuk bunuh diri," katanya.
Secara perbandingan, kematian akibat membunuh diri di kalangan lelaki adalah tiga hingga empat kali berbanding dengan perempuan, walaupun cubaan membunuh diri lebih tinggi di kalangan perempuan. Statistik menunjukkan di sebalik 10 orang yang berjaya membunuh diri, ada 20 orang yang mencuba tetapi gagal. Budaya, persekitaran dan jantina mempengaruhi mekanisme yang dipilih untuk membunuh diri.
"Lelaki kerap memilih untuk menggantung diri atau terjun daripada bangunan tinggi untuk menamatkan riwayat. Manakala wanita lebih cenderung menelan ubat-ubatan seperti paracetamol, ubat tidur malah racun tikus. Ada juga wanita memilih untuk mengelar tangan dan meminum racun rumpai.
"Malangnya, ada sesetengah mekanisme ini tidak tepat. Misalnya dos yang berkurangan dan mangsa akhirnya diselamatkan. Bagaimanapun komplikasi pengambilan bahan-bahan sebegini yang tidak boleh dirawat walaupun mangsa masih hidup," katanya.
Dalam langkah mencegah bunuh diri kata Dr Muhsin, ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat sebenarnya dapat membantu. Ini kerana, seseorang itu tidak akan bertindak membunuh diri secara tiba-tiba.
Selain itu katanya, langkah pencegahan juga perlu dilakukan dengan meletakkan masalah bunuh diri itu sebagai masalah kesihatan dan bukan masalah undang-undang. |
|
|
|
|
|
|
|
setan dh masuk dlm badan depa... tu yg dia bunuh diri tu..
dh x dpt berfikir... iman x kuat |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|