SENAMROBIK: Hajiji (kiri) menyertai aktiviti senamrobik sempena sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Kompleks Sukan Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mempunyai hak istimewa termasuk demokrasi bagi mereka memilih untuk berkhidmat menerusi landasan diingini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ianya terpulang kepada ADUN terbabit untuk memilih.
"Kita juga berterima kasih kepada ADUN-ADUN Bebas yang memilih bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi merealisasikan pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
"Dengan ini, kita boleh memberikan fokus kepada perpaduan dan pembangunan untuk rakyat di Sabah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan ADUN Sindumin Datuk Dr. Yusof Yacob yang meninggalkan WARISAN menjadi ADUN Bebas.
Sementara itu, Hajiji menjelaskan sukan adalah salah satu fokus pelan SMJ iaitu pembangunan belia dan sukan di Sabah.
Katanya, usaha itu sangat istimewa dan perlu diberikan penekanan sebab aktiviti sukan tidak boleh dipisahkan bukan sahaja atlet tetapi ahli sukan di Sabah.
"Kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan akan sentiasa mengadakan program khusus kepada para belia Sabah.
"Kita akan menyediakan kemudahan sukan mencukupi bukan sahaja di Bandaraya ini tetapi juga daerah lain di Sabah," katanya.
Katanya, pembangunan sukan amat penting kerana ia tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat terutamanya golongan muda atau belia.
utusanborneo.com.my/2021/10/09
|