|
London: Krisis kecederaan Manchester City makin serius menjelang misi getir minggu depan dengan Ilkay Gundogan pemain terkini memerlukan rawatan.
Pengendali City, Pep Guardiola berkata pemain tengah Jerman itu tercedera ketika seri 0-0 dengan Southampton, Sabtu lalu malah mereka beraksi tanpa John Stones, Aymeric Laporte, Rodri serta Oleksandr Zinchenko ketika menentang Saints.
City berdepan tugas sukar di tempat lawan menentang Chelsea pada 25 September, Paris St Germain tiga hari kemudian dan Liverpool pada awal Oktober tetapi sebelum itu menerima kunjungan Wycombe dalam aksi Piala Carabao, awal pagi esok.
Guardiola menegaskan senarai kecederaan pemainnya mencemaskan dan dia tiada pilihan apabila terpaksa menurunkan beberapa pemain muda ketika memulakan misi pertahankan trofi menentang kelab Liga Satu itu.
Guardiola menamakan empat pemain bawah usia 20 tahun - Luke Mbete-Tatu, Cole Palmer, Romeo Lavia dan Josh Wilson-Esbrand di bangku simpanan ketika seri tanpa jaringan menentang Southampton, Sabtu lalu.
'Saya tiada pilihan lain,'' kata pengurus dari Sepanyol itu. 'Kami akan menurunkan beberapa pemain muda bersama pemain utama tetapi ada yang perlu rehat menjelang tiga perlawanan sukar.
'Beberapa pemain akademi akan beraksi kerana John, Ayme (Laporte), Aleks (Zinchenko), Rodri, saya fikir Gundogan, kesemuanya cedera.
'Kami akan tengok kerana kami tidak mempunyai empat atau lima hari untuk membuat persiapan dan pemilihan, jadi ini peluang buat pemain akademi. Itu sebab mereka ada di sini.'' - HMetro
|
|