View: 1199|Reply: 1
|
Subkhiddin puji tindakan tegas, pantas FAM
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh memuji tindakan pantas badan induk itu yang segera menjatuhkan hukuman ke atas pemain Sarawak United.
Jelas tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu, hukuman berat ke atas enam pegawai dan pemain pasukan itu harus dilihat dari pandangan berbeza dan bukannya hanya melihat bentuk hukuman semata-mata.
Katanya, apa yang lebih mustahak, menerusi keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FAM, ia bakal memberi kesan positif pemain-pemain muda di peringkat pembangunan agar tidak mengulangi kesilapan sama yang dilakukan pemain senior dalam saingan Liga Malaysia.
"Satu perkara bagus dilakukan FAM apabila memberi bentuk hukuman yang sewajarnya kepada pemain yang didapati bersalah ke atas pengadil.
"Hukuman berkenaan bukan saja akan beri pengajaran buat pemain lain, tetapi apa yang lebih penting adalah ia bakal memberi cerminan kepada pemain muda di peringkat sekolah sekarang ini.
"Kita tidak mahu mereka mengikut contoh yang tidak baik apabila melihat pemain atau idola mereka bertindak agresif ke atas pengadil di dalam padang. Jadi saya lihat keputusan FAM ini baik demi membentuk suasana dan budaya yang sihat buat generasi akan datang," katanya kepada Arena Metro.
Jumaat lalu, FAM menerusi Jawatankuasa Tatatertibnya yang dipengerusikan oleh Datuk Baljit Singh Sidhu memutuskan tiga pemain dan tiga pegawai Sarawak United termasuk pengendali pasukan E Elavarasan digantung serta didenda dengan nilai keseluruhan berjumlah RM43,000.
Paling dinantikan sudah tentunya hukuman terhadap penjaga gol Sarawak United, Mohd Sharbinee Allawee Ramli yang dikatakan pencetus kepada insiden menyerang pengadil ketika aksi menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September lalu.
Sharbinee yang juga bekas penjaga gol kebangsaan didapati melakukan dua kesalahan apabila melanggar Artikel 50.1(d) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM yang menyaksikan dia digantung lima aksi serta denda RM7,000.
Dua lagi rakan sepasukannya, Mohammad Amer Saidin dan Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli masing-masing digantung dua dan empat perlawanan bermula aksi dengan JDT II, malam esok.
Nasib malang turut diterima dua pegawai pasukan di mana Rudy Bujang digantung selama enam bulan dan denda RM10,000 serta Abang Fomay Abang Sa'adeli yang digantung dua aksi dan RM10,000.
Sementara itu, Baljit turut memutuskan Elavarasan bersalah kerana melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 Statut FAM (Tatalaku Badan dan Pegawai) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan kepada Media) atas tindakannya yang membuat kenyataan semasa temu ramah selepas perlawanan tanpa kebenaran FAM.
Kesalahan bekas pengendali PKNS FC itu menyaksikan beliau digantung selama 12 bulan serta denda RM10,000."Tak ada siapa suka hukum orang, saya pun begitu juga. Tapi apabila sampai tahap yang sepatutnya, kita kena beri pengajaran agar orang lain dapat tempias yang positif," kata Subkhiddin. - HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
SUBKHIDDIN mengakui menerusi keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FAM, ia bakal memberi kesan positif pemain-pemain muda di peringkat pembangunan. FOTO OWEE AH CHUN |
|
|
|
|
|
|
| |
|