|
Milan: Jose Mourinho berkata dia berasa seperti kanak-kanak apabila meraikan jaringan Stephan El Shaarawy ketika pasukannya mencatat kemenangan lewat 2-1 ke atas Sassuolo untuk berada di kedudukan teratas carta Serie A dalam penampilan ke-1,000 sebagai pengurus.
Pemain kebangsaan Itali, El Shaarawy meledak sepakan lencong pada minit ke-91 yang mencetuskan sambutan hangat di Stadio Olimpico dekat Rom dengan Mourinho berlari meraikannya bersama pemain di belakang gol.
Pemain Roma, Stephan El Shaarawy (kiri) menjaringkan gol kemenangan ketika berdepan Sassuolo. FOTO EPA
"Hari ini saya bukan berusia 58 tahun, saya rasa seperti 10, 12, 14 tahun, kembali ketika anda memulakan karier impian dalam bola sepak.
"Minggu ini saya berbohong kepada diri sendiri kerana saya cuba meyakinkan diri ia bukanlah perlawanan istimewa, tapi ia sebenarnya adalah aksi istimewa.
"Sepanjang hidup saya, saya akan mengingati perlawanan yang membawa 1,000 aksi kali ini," kata Mourinho.
Saingan itu tampak akan menuju keputusan seri selepas gol pembukaan Bryan Cristante pada minit ke-37 sebelum Filip Djuricic menyamakan kedudukan selepas sejam perlawanan dan kedua-dua pasukan banyak mensia-siakan peluang.
Cubaan Tammy Abraham dan Hamed Traore terkena palang tetapi penjaga gol Roma, Rui Patricio memperaga aksi terbaik menghalang Domenico Berardi dan Jeremie Boga ketika Sassuolo memberi tekanan.
Bagaimanapun hanya berbaki beberapa minit saingan, El Shaarawy meledak gol menarik untuk meletakkan Roma di puncak liga dengan memungut sembilan mata sama dengan AC Milan dan Napoli. - HMetro
|
|