View: 689|Reply: 1
|
Kone, Arthur pastikan NSFC pungut tiga mata
[Copy link]
|
|
Pasir Gudang: Negeri Sembilan FC (NSFC) terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana, Sarawak United apabila menewaskan Kuching City FC 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan K Devan mengutip 35 mata menerusi 18 perlawanan, merapatkan jurang kepada dua mata di belakang Sarawak United yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
NSFC hanya perlu mengutip satu mata sahaja dalam dua baki perlawanan menentang Sarawak United dan PDRM FC selepas ini.
Skuad Hoben Jang Hoben mempamer aksi garang sebaik sepak mula dan berjaya mendapatkan gol pembukaan pada minit kelima hasil jaringan Kouassi Kone.
Kone tidak mensia-siakan sepakan sudut diambil Zaquan Adha Abd Radzak dengan melakukan tandukan padu menewaskan kawalan penjaga gawang Wan Muhammad Azraie Wan Teh.
Pasukan tuan rumah cuba bangkit dengan mengatur serangan bertali arus ke arah gawang lawan menerusi percubaan Michael Ijezie dan Mazwandi Zekeria namun gagal melakukan sentuhan pemusnah untuk menjaringkan gol penyamaan.
NSFC hampir menambah jaringan hasil beberapa percubaan oleh Zaquan Adha namun tidak berjaya mendatangkan kemusnahan kepada pasukan lawan.
Bersambung babak kedua, skuad Irfan Bakti tidak mengambil masa yang lama untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-47 hasil jaringan Ijezie yang memanfaatkan umpanan Kalang Tie bagi menewaskan penjaga gol, Damien Chien Khai Lim.
Ijezie hampir menggandakan jaringan buat skuad The Cats menerusi sepakan percuma pada minit ke-55 namun berjaya ditumbuk keluar manakala percubaan susulan Irwan Syazmin Wahab jauh tersasar.
Skuad Hoben Jang Hoben sekali lagi di hadapan hasil gerakan cantik 'set piece' yang diambil pada minit ke-69.
Gerakan bermula apabila Bae Beom Geun yang melakukan 'dummy' dan Zaquan Adha melorongkan bola kepada Aroon Kumar Ramaloo yang membuat hantaran lintang mencari Arthur Cunha yang menanduk masuk hantaran cantik itu.
Pasukan tuan rumah sekali lagi cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan namun percubaan demi percubaan dilakukan tidak mampu mengubah keputusan perlawanan.
Kekalahan ini adalah yang pertama buat pasukan Kuching City selepas menjadikan Pasir Gudang sebagai arena utama mereka bagi mengharungi baki perlawanan Liga Perdana. - HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
Aksi pemain Kuching City (kiri) yang cuba dihalang pemain NSFC dalam perlawanan Liga Perdana. FOTO Kuching City FC |
|
|
|
|
|
|
| |
|