View: 821|Reply: 1
|
Sean akhiri kemarau jaringan
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Pemain tengah UiTM FC, Sean Gan Giannelli tetap puas apabila dia akhirnya berjaya meledak gol peribadi bersama pasukan walaupun perlu menanti agak lama untuk kembali bangkit selepas mengharungi musim yang agak hambar.
Pemain berusia 25 tahun ini meledak tiga gol setakat ini sejak dipinjamkan ke UiTM FC daripada Kuala Lumpur City FC pada pertengahan musim sekali gus berjaya untuk sekurang-kurangnya membuktikan kemampuan selepas diketepikan dalam kesebelasan utama sebelum ini.
Walaupun sudah hampir ke penghujung musim, bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT II) ini tidak merasakan sudah terlambat untuknya terus mempersembahkan aksi cemerlang di samping mengharapkan kariernya pada musim depan juga akan lebih baik.
"Apabila saya buat keputusan untuk berhijrah secara pinjaman ke UiTM memang ada juga rasa tekanan untuk berikan yang terbaik sebab biasalah apabila kita bertukar kelab, kalau boleh nak tunjuk yang kita mampu bermain dengan baik.
"Jadi, saya tidak nafikan ada sedikit tekanan tetapi barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan sangat membantu untuk saya menyesuaikan diri dengan pasukan ini.
"Memanglah kalau boleh nak bermain lebih banyak lagi sebab ada tiga perlawanan sahaja lagi selepas ini, cuma saya gembira dengan keputusan untuk dipinjamkan ke sini dan sekurang-kurangnya saya dapat buktikan apa yang saya ada pada musim ini, dan bukannya sekadar menunggu untuk musim depan", katanya.
Sepanjang beraksi bersama Kuala Lumpur pada awal musim ini, Sean hanya beberapa kali sahaja diturunkan sebagai pemain gantian dan paling lama beraksi hanya untuk 22 minit baki perlawanan sahaja.
Berbaki tiga lagi perlawanan sebelum berakhir saingan Liga Super 2021, dia berharap mampu untuk menambah jaringan peribadi selain ingin memastikan pasukan tidak lagi tercicir mata untuk cuba keluar daripada zon penyingkiran. - HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemain UiTM FC, Sean Gan Giannelli meledak gol ketika berdepan Sabah FC di Shah Alam. FOTO UiTM FC |
|
|
|
|
|
|
| |
|