Sungai Petani: Sejak dilahirkan lima tahun lalu, seorang kanak-kanak lelaki hanya mampu terbaring dan minum susu melalui tiub berikutan keadaan dirinya tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).
Bagaimanapun, kanak-kanak malang terbabit, Muhamad Haikal Hakimi Abdullah yang dilahirkan pramatang itu menghembus nafas terakhir Isnin lalu kerana menjadi mangsa Covid-19.
Allahyarham Muhamad Haikal Hakimi meninggal dunia di rumahnya di Flat Paya Nahu, di sini, dan kejadian itu disedari ibunya selepas melihat arwah tidak lagi bergerak.
Bapa saudaranya, Juhaza Ahmad, 35, berkata ibu arwah yang melihat dia tidak bergerak kemudian menghubungi ambulans pada 2.30 pagi untuk meminta bantuan.
"Bagaimanapun, arwah disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang datang melakukan pemeriksaan dan jenazah dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.
"Hasil pemeriksaan, dia didapati positif Covid-19 dan ibu, bapa serta abang arwah turut dijangkiti dengan semua mereka kini menjalani kuarantin di rumah," katanya.
Menurutnya, jenazah anak saudaranya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu, Lembah Bujang pada 12.15 tengah hari, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, setakat ini lima kanak-kanak bawah 12 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas positif Covid-19 di negeri ini.
Menurutnya, jumlah itu termasuk Muhamad Haikal Hakimi yang meninggal dunia di rumahnya dan hasil pemeriksaan lanjut sebelum proses bedah siasat mendapati dia positif Covid-19.
"Setakat ini, kita sahkan kanak-kanak berkenaan positif Covid-19, namun punca kematiannya bergantung kepada keputusan bedah siasat yang akan diperoleh dalam tempoh terdekat," katanya.