Sungai Petani: Tindakan seorang lelaki membaling papan tanda nyaris membuatkan penunggang motosikal ditimpa malapetaka dalam kejadian di Bakar Arang, di sini, semalam.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 5 petang dan penunggang motosikal berkenaan bernasib baik kerana dia sempat mengelak daripada terkena papan tanda itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya ada menerima aduan berhubung kejadian terbabit namun suspek didapati sudah menghilangkan diri ketika polis tiba di lokasi kejadian.
"Hasil siasatan awal, kita dapati suspek adalah seorang penghidu gam tegar dan dia sudah tiada sebaik polis tiba.
"Kita masih mengesan lelaki terbabit dan meminta orang ramai menghubungi polis sekiranya mempunyai maklumat atau terlihat suspek," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Perbuatan lelaki itu sempat dirakam pengguna jalan raya dan tular di media sosial.
Video berdurasi 15 saat itu memaparkan aksi lelaki berbaju oren serta berkain pelikat yang membawa besi papan tanda ke tengah jalan.
Tanpa menghiraukan pengguna jalan raya lain, lelaki terbabit dilihat cuba menghayun papan tanda berkenaan ke arah van.
Bagaimanapun, dia yang menyedari ada penunggang motosikal melalui jalan terbabit berpaling dan melontarkan papan tanda ke arah mangsa.
Penunggang motosikal itu bagaimanapun bernasib baik kerana dia sempat mengelak dengan menunduk kepala sebelum terus berlalu pergi.