Tiada 'empangan semula jadi' di Gunung Jerai - JMGOgos 28, 2021 @ 2:37pm
Lebih 100 sukarelawan terdiri daripada ahli Skuad Unit Amal bersama masyarakat setempat bergotong royong menarik paip polimer dengan berjalan kaki mendaki ke sumber air di Gunung Jerai sejauh hampir 5,000 meter. - Foto BERNAMA
YAN: Pasukan 'Task Force' Bencana Geologi, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak menemukan sebarang 'empangan semula jadi' atau 'blockage' di kawasan puncak atau lereng Gunung Jerai yang dikatakan menjadi penyebab kejadian fenomena kepala air di gunung itu pada 18 Ogos lalu.
Ketua Cawangan Kepakaran Geologi Kejuruteraan JMG, Dr Ferdaus Ahmad, berkata berdasarkan pemerhatian di lapangan, tiada bukti atau tanda bahawa empangan semula jadi iaitu longgokan kayu dan ranting yang menahan aliran air dan menyebabkan takungan air, terbentuk di gunung itu.
Menurutnya, fenomena kepala air atau istilah lebih tepat bencana geologi aliran puing di kawasan gunung itu terjadi ekoran dua perkara; faktor pencetus iaitu hujan lebat pada hari kejadian dan faktor penyumbang iaitu keadaan geologi merangkumi tanah, batuan dan keadaan cerun di kawasan itu.
"Sebelum kejadian yang dikatakan kepala air itu sebenarnya terdapat hujan yang sangat lebat di luar daripada keadaan biasa. Jadi air hujan itu telah meresap ke dalam tanah dan melembutkan struktur tanah serta batuan di kawasan sekitarnya.
"Faktor yang menyumbang kepada kejadian itu pula ialah sudut cerun gunung itu yang lebih daripada 25 darjah, selain sistem retakan pada batuan yang terdapat di Gunung Jerai serta ketebalan tanah di permukaan gunung itu menjadi faktor penyumbang kejadian tanah runtuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan gabungan faktor pencetus dan faktor penyumbang ini, bencana sama boleh berulang di kawasan Gunung Jerai, namun pihaknya tidak dapat menentukan bila fenomena semula jadi itu akan berlaku semula.
Skuad Unit Amal bergotong royong memastikan penduduk Kampung Pauh dan Kampung Sungai Udang di Yan kembali mendapat sumber air bersih. - Foto BERNAMA
Sementara itu, mengulas mengenai pembinaan empangan sabo di kawasan cerun dan aliran sungai bagi mengurangkan kesan bencana geologi itu, Ferdaus berkata berdasarkan kajian teknikal dan kaedah sama yang diamalkan negara luar, empangan itu boleh mengurangkan kesan buruk aliran puing.
Namun, beliau menjelaskan pembinaan empangan kecil itu memerlukan pembabitan pelbagai jabatan teknikal berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia bagi memastikan kaedah itu sesuai dan berkesan untuk dilaksanakan di negara ini.
"Antara faktor yang kita perlu pertimbangkan adalah faktor geologi di kawasan tersebut, sama ada pembinaan itu sesuai atau tidak atau 'cost effective' atau tidak dalam mengurangkan risiko dan mengelakkan kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda. Kita perlu menimbang banyak perkara sebelum kita membuat keputusan yang tepat," katanya.
Bencana banjir ekoran fenomena kepala air yang berlaku pada petang 18 Ogos itu mengorbankan enam nyawa dan menyebabkan kira-kira 800 rumah terjejas di daerah Yan dan 200 lagi di kawasan Merbok di daerah Kuala Muda. – BERNAMA
|