[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 26, 2021 @ 4:54pm[email protected]
Acryl Sani (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Siti Zaharah Omar, 36, yang berkerusi roda bersama ibunya, Siti Asa Abdul Hamid, 70, (tengah) di Kampung Sidam Kanan hari ini. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
KULIM: Kira-kira 30,000 penerima di seluruh negara mendapat manfaat daripada Op Bantu yang dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat hari ini sejak ia dilancarkan pada Julai lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata inisiatif yang bertujuan menyalurkan bantuan bekalan makanan itu berjaya meringankan beban golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Pihak kita tidak meletakkan sebarang sasaran dalam Op Bantu ini dan ia (bantuan) akan berjalan secara berterusan.
"Polis juga akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mahu menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan Op Bantu di Kampung Sidam Kanan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan timbalannya, Datuk Mohd Roze Shaari.
Terdahulu, Acryl Sani menyampaikan sumbangan kepada pesara polis, Othman Senawi, 91, yang mengalami penyakit buah pinggang dan pesara tentera, Awang Kechik, 70, yang mengalami sakit jantung kronik.
Beliau berkata, PDRM juga bertindak sebagai pemudah cara kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan, termasuk dalam mengenal pasti penerima yang sedang dalam kesusahan dan perlu dibantu.
Op Bantu adalah kolaborasi strategik bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara, dijadikan sebagai pusat pengagihan bantuan.