[size=0.8]Oleh Zuhainy Zulkiffli - Ogos 25, 2021 @ 4:43pm[email protected]
Lokasi kuari yang hanya 200 meter dari kediaman penduduk mengancam keselamatan mereka apabila rumah retak dan bumbung pecah terkena batu dari kuari. - Foto ihsan penduduk
BAYAN LEPAS: Kuari yang beroperasi terlalu hampir dengan beberapa kawasan perumahan di Sungai Ara, di sini, sejak awal tahun ini meresahkan penduduk kerana ia mengancam keselamatan mereka.
Ini kerana aktiviti pemecahan bongkah batu menyebabkan kawasan perumahan berhampiran mengalami pelbagai insiden termasuk keretakan pada dinding rumah, lantai dan bumbung serta berhabuk.
Antara kejiranan yang terkesan ialah Setia Pulau Mutiara I, II dan III serta Stramax Residences.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman, berkata pihaknya menerima beberapa aduan mengenai operasi kuari itu yang jaraknya hanya kira-kira 200 meter dari rumah penduduk.
Katanya, paling membahayakan ialah kejadian 'batu terbang' yang mengenai rumah penduduk berhampiran.
"Penduduk juga bimbang lori yang membawa muatan bahan batuan kuari boleh menggugat keselamatan pengguna jalan raya, malah mereka juga kerap mendengar letupan kuat luar biasa, dipercayai dari projek kuari batu terbabit.
"Difahamkan operasi kuari ini berkaitan dengan kerja tanah bagi pembangunan projek perumahan baharu dan pengalaman lalu menunjukkan pembangunan di lereng bukit boleh membawa padah jika berlaku gelongsoran tanah, lebih-lebih lagi ketika musim hujan lebat ini," katanya.
Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, SAM khuatir jika perkara itu tidak ditangani segera, risiko terhadap keselamatan penduduk dan orang ramai akan terancam, selain mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengkaji semula operasi kuari di kawasan itu.
"Operasi kuari ini perlu ditamatkan segera seperti di Juru yang diberhentikan operasinya baru-baru ini," katanya.
Sementara itu, penduduk Setia Pulau Mutiara, Askin Meera, 55, berkata laporan polis juga sudah dibuat pada Februari lalu mengenai letupan kuat yang menggegarkan kejiranan berkenaan, namun ia masih dalam siasatan.
Katanya, wakil penduduk juga sudah menghantar surat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang pada Julai lalu bagi menyatakan bantahan terhadap operasi kuari itu, namun masih tiada jawapan balas.
"Rumah saya antara yang paling hampir dengan kawasan itu dan kami juga diancam kejadian tanah runtuh pada bulan lalu.
"Walaupun ia hanya kejadian kecil, namun kita tidak menolak kemungkinan ia adalah petanda sesuatu yang lebih buruk boleh berlaku," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.