[size=0.8]Oleh Nur Izzati Mohamad - Ogos 25, 2021 @ 3:28pm[email protected]
KEPALA BATAS: Seorang jurujual wanita, di sini, kerugian hampir RM46,000 akibat ditipu sindiket pelaburan tukaran wang asing selepas terpengaruh dengan tawaran kononnya bakal memperoleh keuntungan berganda berserta pulangan modal.
Kejadian berlaku apabila mangsa berusia 28 tahun berkenalan dengan seorang individu di laman sosial Facebook pada pertengahan Julai lalu sebelum bertukar nombor telefon.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata suspek kemudian mengajak mangsa menyertai pelaburan Forex yang akan didagangkan sendiri oleh suspek melalui aplikasi Cainvest.
"Mangsa yang percaya pada suspek bersetuju dengan tawaran itu selepas dijanjikan keuntungan tinggi berserta pulangan modal.
"Tanpa melakukan semakan terlebih dulu, mangsa kemudian membuat sembilan transaksi pindahan wang berjumlah RM45,979 ke dalam lima akaun bank tempatan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas suspek gagal dihubungi dan aplikasi Cainvest yang digunakan untuk melihat aktiviti dagangan tukaran wang asing juga sudah dinyah aktif.
"Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis semalam (kelmarin) bagi tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.