[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 24, 2021 @ 7:51pm[email protected]
Kereta yang terjejas dalam banjir lumpur di kawasan Yan ditarik dan ditunda oleh kereta penunda hasil gabungan tiga negeri yang membantu secara percuma. - Foto ihsan Muhamad Ayman Joshua
YAN: Kumpulan pemilik trak dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang membantu menunda 60 kereta penduduk di Pekan Yan yang terjejas dalam banjir lumpur, secara percuma.
Wakil kumpulan itu, Muhamad Ayman Joshua, 35, berkata mereka bersepakat untuk membantu pemilik kenderaan yang terjejas dalam tragedi kepala air itu secara sukarela.
Katanya, tujuan mereka bukan untuk mencari publisiti, sebaliknya hanya membantu penduduk di kawasan itu.
"Ada kereta yang terlekat dalam lumpur dan kami membantu mereka untuk menarik keluar, sebelum menghantarnya ke bengkel berhampiran.
"Upah biasa untuk menarik kereta di kawasan lumpur sekitar RM100 hingga RM150 untuk sebuah kereta bergantung pada keadaan.
"Kami kumpulan tarik kereta dari tiga negeri ini membantu penduduk secara sukarela kerana simpati dengan nasib yang menimpa mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Muhamad Ayman berkata, mereka mengenakan bayaran sekiranya pemilik meminta menghantar kereta jauh dari Yan, dengan kadar bergantung pada kemampuan pemilik.
"Pada hari pertama, kami menarik 20 kereta di kawasan lumpur. Pada hari kedua semalam, kita tarik 40 kereta," katanya.