View: 724|Reply: 1
|
Misi wajib menang UiTM FC
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Kejayaan menewaskan Perak FC minggu lalu nyata menaikkan motivasi skuad UiTM FC menjelang aksi Liga Super menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam esok.
Jelas ketua pasukan UiTM FC, Victor Nirennold, biarpun mereka kini menghuni tangga tercorot liga namun kemenangan sulung ke atas Perak itu dilihat berjaya menyemarakkan semangat pasukan dan mahu meneruskan rentak itu.
"Lega selepas melalui banyak perlawanan, akhirnya berjaya meraih kemenangan walaupun diakui mungkin sudah sedikit terlambat tetapi pasukan sudah buktikan yang kami tidak cepat berputus asa.
"Sememangnya banyak perubahan positif berlaku dalam pasukan sejak bermula pusingan kedua tempoh hari tetapi sayang sekali kemenangan itu hanya hadir pada perlawanan ke-17.
"Kami cuba untuk menang dalam baki perlawanan yang tinggal kerana secara matematiknya kami masih ada peluang tetapi jika tersingkir ke Liga Perdana, biarlah dengan cara bermaruah dengan berikan sehabis baik, " katanya.
Prestasi UiTM pada musim ini jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan musim lalu yang mampu menamatkan kedudukan di tangga keenam apabila penghijrahan ramai tonggak import serta beberapa pemain tempatan memberikan kesan kepada kualiti pasukan secara keseluruhan.
Di atas kertas, UiTM wajib memenangi lima perlawanan yang tinggal selain mengharapkan lima pesaing terdekat iaitu membabitkan Perak FC, Melaka United FC , Sri Pahang FC, Petaling Jaya City FC dan Sabah FC keciciran mata dalam semua perlawanan atau tidak menamatkan saingan liga melebihi 20 mata.
Kata pemain import dari Perancis itu lagi, kehadiran pemain import seperti Ousmane Fane, Kwon Yong Hyun dan Joel Vinicius serta beberapa tempatan lain seperti Alif Samsudin, Zamir Selamat dan Sean Gan Giannelli berjaya memberikan perubahan kepada pasukan.
"Saya akui pasukan ini sangat berbeza jika hendak bandingkan musim lalu malah permulaan yang buruk pada permulaan musim mewujudkan perasaan negatif dalam kalangan pemain.
"Situasi itu membuatkan pemain-pemain melakukan kesilapan-kesilapan mudah berulang kali dan memberikan kesan kepada persembahan pasukan.
"Namun, kehadiran pemain import terbaharu memberikan keyakinan berbeza serta kekuatan tambahan kepada kami selain kerja keras pemain tempatan yang menghadirkan peningkatan berbeza kepada UiTM.
"Suasana dalam pasukan sekarang tampak positif dan itu boleh dilihat dalam cara permainan kami yang semakin berbeza, harap keadaan ini dapat diteruskan sehingga penghujung musim, " katanya.
HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
BARISAN pemain UiTM ketika meraikan kejayaan menewaskan Perak FC. FOTO Ihsan UiTM FC |
|
|
|
|
|
|
| |
|