[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Ogos 17, 2021 @ 5:21pm[email protected]
Polis merampas dadah dari seorang lelaki dalam serbuan di Kampung Kuala Reman, Jeneri, Sik. - Foto PDRM
ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah dalam serbuan di rumah di Kampung Kuala Reman, Jeneri, Sik, Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin, berkata serbuan dilakukan jam 6 petang untuk menahan lelaki tempatan berusia 33 tahun itu.
"Polis menemui satu bungkusan plastik hitam yang di dalamnya mengandungi dua bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan putih, disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 903.10 gram.
"Suspek turut menunjukkan beberapa lokasi tempat bekalan dadah disembunyikan di luar rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Taufik berkata, polis kemudian menemui sebuah bungkusan plastik hitam mengandungi tujuh peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu, anggaran berat 179.61 gram.
Beliau berkata, turut ditemui enam bungkusan berisi ketulan warna putih disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 2,486.2 gram.
"Jumlah anggaran berat keseluruhan dadah heroin yang dirampas sebanyak 3,389.30 gram dan dadah syabu 179.61 gm.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah RM62,961," katanya.
Mohd Taufik berkata, saringan awal air kencing terhadap suspek adalah negatif.
Beliau berkata, susulan tangkapan dan rampasan dadah itu, pihaknya turut menyita harta suspek iaitu du buah motosikal bernilai RM7,500 dan RM 9,800 serta wang tunai RM20,000.
"Tangkapan direman selama tujuh hari bermula 16 Ogos hingga 22 Ogos untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.