GEORGETOWN: Tiga rentung selepas kenderaan yang mereka naiki terbakar dalam satu kemalangan di Jalan Masjid Negeri, di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.55 pagi.
Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak yang diketuai Sha'ari Mansor ke lokasi sejurus menerima panggilan.
"Ketika di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan kereta jenis Toyota Vios dengan nombor pendaftarannya tidak dapat dikenalpasti. Dipercayai kenderaan terbabit melanggar sebatang pokok sebelum terbakar," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, terdapat tiga mangsa yang terperangkap dalam kereta berkenaan dan anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit pada jam 3.05 pagi.
"Semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan petugas perubatan yang tiba di lokasi," katanya lagi.
Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat.
Difahamkan, berikutan keadaan yang rentung, identiti semua mangsa belum dapat dikenalpasti setakat ini.