|
Paris: Bekas Kapten Real Madrid, Sergio Ramos dijangka akan membuat penampilan sulung bersama kelab baharunya, Paris Saint-German pada September apabila dia pulih sepenuhnya dari kecederaan betis, umum gergasi Ligue 1 itu.
Pertahanan Sepanyol itu hanya dapat diturunkan selepas rehat antarabangsa, kemungkinan bagi aksi di laman sendiri berdepan Clermont pada 11 September.
Ramos, 35, menandatangani kontrak dua tahun bersama PSG awal bulan ini selepas meninggalkan Real Madrid di mana dia memenangi empat kejuaraan Liga Juara-Juara.
Dia yang juga pemenang Piala Dunia dan dua kali juara Eropah bersama Sepanyol.
Bagaimanapun, dia tidak dapat beraksi dengan jersi PSG kerana kecederaan betis.
Pemain tengah Senegal, Idrissa Gueye yang didapati Covid-19 pada penghujung Julai, turut terlepas aksi pembukaan PSG dalam saingan Ligue 1 menentang Strasbourg pada Sabtu.
Pemain pertahanan Sepanyol, Juan Bernat bagaimanapun sudah memulakan latihan bersama pasukan selepas mengalami kecederaan lutut serius yang menyebabkan dia tidak dapat beraksi sejak September lalu.
Masih belum dipastikan sama ada Neymar, Marquinhos, Angel Di Maria dan Marco Verratti akan beraksi -- mereka hanya kembali berlatih hari ini susulan selepas saingan Euro 2020 dan Copa America.
Lionel Messi akan diperkenalkan kepada penonton tetapi tidak akan beraksi di atas padang sehingga hujung Ogos.
HMetro
|
|