|
Kuala Lumpur: Sikap terlalu yakin dan tidak berbelanja mengikut sumber kewangan semasa antara punca mengapa saingan Liga Malaysia (Liga-M) sering terpalit dengan isu tunggakan gaji hingga mencemarkan imej liga tempatan di mata dunia.
Menurut Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin, segelintir kelab dilihat sering terperangkap dengan sangkaan atau bayangan jumlah tajaan yang diyakini cukup tinggi.
Di atas sikap itu, kelab-kelab berbelanja melebihi had semasa yang akhirnya memakan diri terutamanya jika penaja tidak dapat memenuhi perjanjian yang kemudiannya menyaksikan gaji pemain mula sangkut.
"Konsepnya senang, mesti berbelanja mengikut jadual...mengikut bajet yang kita dapat (pasukan dapat). Ada sebahagian yang terjadi adalah selepas kelab-kelab ini dia melihat bajet, contohnya RM15 juta tapi RM8 juta lagi dia tak dapat lagi. Tapi dia bayangkan mungkin akan dapat.
"Tapi dia takkan dapat bila sampai masa, jadi perkara ini mereka perlu kekang dan tak boleh buat. Jadi kita perlu bertindak lebih tegas kerana supaya rakan kongsi ini berbelanja mengikut bajet, itu formula utama yang mereka perlu ikut.
"Tanpa duit yang tak pasti berada dalam kantung mereka untuk sepanjang tahun, ini akan menyukarkan lagi keadaan kewangan," katanya yang mahu semua pasukan berbelanja mengikut kemampuan semasa.
Ujarnya lagi, Program Kawalan Ekonomi (ECP) yang diperkenalkan MFL pada 2019 lalu perlu diperketatkan lagi bagi membendung masalah kewangan pasukan.
"Jadi ECP perlu diperketatkan dan dilaksanakan kerana MFL mahu menjaga hak rakan kongsi ini agar terbela, apatah lagi kita ini dalam keadaan Covid-19 dan situasi ekonomi yang tidak menentu juga beri kesan kepada semua orang.
"Dulu ada satu dua pasukan, dia berbelanja mewah tapi sekarang dia dah teruk dan itu semua kita perlu lihat. Ini memang masalah yang kita sudah nampak," katanya.
Untuk rekod, sejak lima musim lalu terdapat hampir enam kelab Liga-M terpaksa 'tutup kedai' gara-gara kegagalan masalah kewangan seperti Sime Darby FC, Felcra FC, Felda United, Kuantan FA, Terengganu City FC dan Perlis FC.
HMetro |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|