Kota Bharu: Kelantan FC terus dirundung malang apabila mencatat kekalahan kedua berturut-turut di laman sendiri selepas tewas 0-2 kepada Terengganu FC II (TFC) dalam saingan Liga Perdana, petang tadi. Skuad kijang terlebih dahulu dikejutkan dengan rembatan kapten TFC II, Jordan Mintah pada minit ketujuh menewaskan penjaga gol, Mohamad Faridzuean Kamaruddin. Gol pembukaan terhasil daripada umpanan rakan sepasukan membuatkan tuan rumah bangkit mencari peluang menyamakan kedudukan. Namun ternyata pengalaman skuad Penyu memberi kelebihan kepada pelawat apabila Mintah memberi tekanan berterusan kepada Kelantan dalam cubaan gol pada minit ke-16 namun gagal disudahkan. Begitu juga percubaan pemain, Muhammad Alif Zakaria yang hampir menggandakan jaringan pelawat yang berjaya dinafikan gol pada minit ke 25. Kelantan terus gagal menyamakan kedudukan apabila tandukan import, Natanael Siringo Ringo sekadar melewati tiang gol menjadikan keputusan 1-0 kekal di babak pertama. Bersambung babak kedua, Kelantan bangkit dengan beberapa percubaan menjaringkan gol namun peluang keemasan Nurshamil Abd Ghani gagal dimanfaatkan apabila gagal membolosi gol yang dijaga kemas, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin. Pasukan kendalian Marco Ragini terus kempunan tiga mata apabila gol kedua dijaringkan Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali pada minit ke-79. Gol itu nyata membunuh hasrat Kelantan memperbaiki kedudukan dalam liga dan melonjakkan TFC II ke kedudukan kedua apabila membawa pulang tiga mata di stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. sumber : HMetro
|