Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila sekadar berkongsi mata 1-1 ketika menentang Melaka United sebentar tadi. Aksi yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, menyaksikan pasukan pelawat tampil lebih meyakinkan terutama selepas mendapat tonik dengan mengalahkan skuad Terengganu FC baru-baru ini. Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling melakukan serangan ke kubu lawan namun gagal diterjemahkan dengan gol sekali gus menyaksikan tiada sebarang jaringan dicipta sehingga perlawanan berhenti rehat. Babak kedua bersambung menyaksikan skuad KL City dilihat memperkemaskan jentera serangan dan berjaya meraih gol hasil ledakan Zhafri Yahya pada minit ke-53. Tersentak dengan gol itu, Melaka berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi hanya berjaya memecahkan kebuntuan pada masa kecederaan menerusi jaringan pemain import, Jang Suk-won. Keputusan terbabit sudah pasti mengecewakan hasrat pasukan tuan rumah yang sebelum ini hanya sekadar mencatat keputusan seri pada tiga perlawanan berturut-turut. KL City ketika ini mengutip 20 mata manakala Melaka United ketinggalan dengan 16 mata selepas mengharungi 16 perlawanan. sumber : Hmetro
|