Barcelona: Penyerang Belanda, Memphis Depay menyertai Barcelona secara percuma selepas kontraknya dengan Lyon berakhir 1 Julai dan meledak gol penalti pada penampilan sulung Sabtu lalu ketika menang 3-1 dalam aksi persahabatan menentang Girona. Pemain berusia 27 tahun kembali pada landasan terbaik di Lyon selepas aksi mengecewakan di Manchester United, apabila meledak 76 gol dalam 178 penampilan bersama kelab Ligue 1 itu. Depay beraksi sebagai penyerang utama di kelab liga Perancis itu musim lalu dan menjaringkan 20 gol tatkala bintang Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe meledak 27 gol. Dia juga berjaya membuktikan kemampuan mampu membantu pemain lain menjaringkan gol selepas melakukan 12 hantaran menghasilkan jaringan dan mencipta 94 peluang, iaitu lebih banyak berbanding pemain lain di Ligue 1 musim lalu. Produk akademi PSV itu percaya dia mampu untuk beraksi bersama bekas penyerang Manchester City, Sergio Aguero dan Lionel Messi, yang dijangka menandatangani kontrak baru untuk kekal di Camp Nou. "Kami semua adalah penyerang namun kami semua mempunyai perbezaan. Saya mempunyai kemampuan dan kekuatan yang berbeza berbanding Aguero, atau pemain lain. "Saya rasa kami bertiga sangat serasi dan berbeza. Bagaimanapun, kita akan lihat nanti bagaimana ia akan terjadi. "Ia memang menarik dapat bergandingan bersama Messi. Dia mempunyai kualiti yang diperlukan pasukan dan ia sangat penting untuk memberikan segala bantuan di sekelilingnya. "Banyak pemain berbakat di sini. Jadi ia sangat menakjubkan untuk beraksi bersamanya dan memenangi trofi," kata Depay. sumber : HMetro
|