Kuala Lumpur: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora menyifatkan kemenangan dramatik ke atas Selangor FC dalam saingan Liga Super malam tadi cukup berharga dalam laluan pasukan itu untuk mempertahankan trofi buat kali kelapan berturut-turut musim ini. Jelas jurulatih dari Mexico itu, tiada aksi yang mudah buat anak didiknya termasuklah kejayaan menundukkan Red Giant 3-1 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu yang menyaksikan Selangor bangkit pada pertengahan permainan sebelum pasukannya menoktahkan kemenangan dengan gol kedua dan ketiga dalam 10 minit terakhir babak kedua. "Dalam bola sepak keputusan menang atau kalah adalah perkara biasa, tapi kejayaan memungut enam mata cukup baik di mana sejak awal kami nyatakan mahu menjadi juara sebelum liga bermula lagi. "Tapi perjalanan kami masih lagi jauh dan kami menghormati setiap pesaing, di mana kita tahu bola sepak Malaysia agak sukar diramalkan, dan sentiasa mempunyai elemen kejutan. "Kadang-kala pasukan di bawah akan beri yang terbaik hingga 160 peratus apabila menentang kami, dan kami tahu akan perkara itu. Jadi kami akan ambil perlawanan demi perlawanan dan tiga mata ini (menentang Selangor) penuh berharga," katanya. Dalam aksi itu, skuad Harimau Selatan terlebih dulu mendahului menerusi tandukan Bergson da Silva yang memanfaatkan hantaran silang Matthew Davies pada minit ke-45 sebelum tuan rumah bangkit kembali pada babak kedua hasil jaringan penyamaan Ifedayo Olusegun di minit ke-61. Gol itu nyata menyentap ego pelawat yang kemudiannya menyerang bertubi-tubi dan hasilnya Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh masing-masing mencetak satu gol di 10 minit terakhir buat meranapkan harapan anak buah Karsten Neitzel. Sementara itu, Neitzel mengakui peluang skuad kendaliannya untuk merebut kejuaraan liga tampak tipis namun yakin jika pemainnya memanfaatkan baki tujuh lagi aksi untuk ditamatkan tidak mustahil keajaiban boleh berlaku. Bagaimanapun, beliau menegaskan masih terdapat dua kelemahan yang harus diatasi segera oleh pemainnya iaitu hantaran yang kurang kemas dan penyudah tumpul. "Kalau kita dapat lakukan hantaran yang lebih kemas dalam kotak penalti, saya kira peluang raih gol lebih terbuka. Hantaran perlu dikemaskan dan sentuhan penyudah juga perlu dibaiki selain transisi dalam permainan juga perlu dibaiki," kata pengendali dari Jerman itu. sumber : HMetro
|