CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1842|Reply: 1

Berjuanglah...usah berputus asa

[Copy link]
Post time 26-7-2021 08:50 PM | Show all posts |Read mode
Berjuanglah...usah berputus asa


MEREKA yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan atau kemurungan mestilah diberi bantuan dan sokongan untuk membendung kejadian bunuh diri.

Nyawa dan kehidupan di dunia ini adalah suatu anugerah Allah SWT. Namun begitu, skrip kehidupan seseorang itu berbeza di antara satu sama lain. Ada yang diuji dengan harta kekayaan yang melimpah ruah, ada pula yang diuji dengan keterbatasan rezeki dan kemiskinan, ada yang diuji dengan ketakutan kerana ugutan dan ancaman, ada yang diuji dengan kekurangan makanan dan ada pula yang diuji dengan kehilangan nyawa orang yang tersayang.

Ia selari dengan Surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: "Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."

Mutakhir ini, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia dan negara kita benar-benar memberi kesan kepada emosi, mental dan spiritual kita semua. Ternyata, ramai manusia yang terkesan dengan pandemik ini. Ada yang kehilangan pekerjaan, ada yang terpaksa menutup perniagaan serta ketiadaan stok makanan. Ini semua impak yang tidak pernah dijangka. Oleh itu, ada yang berputus asa dalam kehidupan yang serba mencengkam, sehingga akhirnya ada mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Islam dalam prinsip Maqasid Syariah demi maslahah untuk menjaga nyawa, sememangnya menegah perlakuan bunuh diri. Ini kerana ia dianggap sebagai dosa besar dan ada ancaman khusus baginya seperti hadis  Nabi SAW Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud: "Sesiapa yang membunuh diri  dengan sesuatu cara, pada Hari Kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula."

Berdasarkan nas di atas dan juga pendapat ulama, jelas menunjukkan kepada kita membunuh diri adalah haram dan termasuk dalam dosa besar.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab al-Halal wa al-Haram berkenaan isu membunuh diri, beliau menegaskan sesiapa yang membunuh dirinya sendiri dengan apa jua cara sekalipun, seolah-olah dia telah membunuh diri yang diharamkan oleh Allah SWT iaitu membunuhnya tanpa sebarang hak. Ini kerana tubuh badan kita serta nyawa kita adalah amanah oleh Allah SWT. Oleh itu, manusia tidak boleh mensia-siakan amanah itu atau bertindak sesuka hati kepada dirinya.

Pada waktu sama, Islam sebagai agama rahmat dan menegakkan keadilan sosial sentiasa memandu umatnya agar menjadi umat yang prihatin dan cakna dengan keadaan sekeliling mereka. Yang meminta diberikan keperluan mereka, yang kelaparan disampaikan bantuan makanan dan yang terbelenggu dengan hutang, diusahakan jalan keluar untuk mereka.

Ia bertepatan dengan hadis  Nabi SAW yang menegaskan: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia." (Hadis  Riwayat Ahmad dan al-Tabrani)

Selain itu, Nabi SAW juga mengingatkan kepada kita agar tidak membiarkan jirannya kelaparan sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:  "Tidak temasuk orang Mukmin orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan." (Hadis  Riwayat al-Thabrani)

Hadis  ini mengandungi petunjuk bahawa bukti keimanan seseorang adalah memiliki sifat prihatin terhadap kesusahan jiran tetangga. Justeru, ketika negara dilanda fenomena mengibarkan bendera putih baru-baru ini, ia adalah tanda ada dalam kalangan masyarakat memohon pertolongan bantuan. Oleh itu, kita sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab perlu segera tampil membantu keperluan mereka.

Semua inisiatif di atas bertujuan untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan pandemik  Covid-19 ketika ini. Berdasarkan statistik oleh PDRM pada 1 Julai 2021, sebanyak 468 kes bunuh diri direkodkan sepanjang Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan menasihatkan masyarakat perlu membantu mereka yang mengalami masalah kewangan, kesihatan, tekanan perasaan atau kemurungan mesti diberi bantuan dan sokongan untuk membendung kejadian bunuh diri.

Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)  mewujudkan bilik gerakan MyCare Cov19 bermula Mac 2020 sehingga kini  dalam usaha membantu mereka yang mengalami masalah rumah tangga dan peribadi dengan pendekatan psikospiritual Islam, kaunseling Syarie dan 'Ilaj Syarie oleh kaunselor, psikologis dan terapis yang bertauliah. Ia dianggap sebagai khidmat sokong bantu kepada klien yang memerlukan nasihat dan bantuan segera dalam menghadapi masalah yang mereka hadapi pada waktu yang krtikal ini.

Kesimpulannya, perlakuan bunuh diri bukan jalan pintas sebagai penyelesaian dalam menempuh ujian kehidupan. Sebagai Muslim, kita sewajarnya menghadapi segala cabaran dan dugaan kehidupan dengan cara sabar, solat dan berdoa kepada Allah SWT. Pada waktu sama, tidak menafikan hak kita untuk terus berusaha dan memohon bantuan kepada pihak berkenaan seperti pusat zakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan. Kita meyakini sekiranya sinergi bantuan ini dapat digerakkan secara bersepadu, ramai pihak yang mengalami kesusahan ketika ini kerana kesempitan wang dan kekurangan makanan akan dapat dibantu.

Akhirnya, kita berdoa kepada Allah agar sentiasa memiliki semangat juang dan tidak berputus asa seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Zumar ayat 53, yang bermaksud:  "...janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."



Penulis Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 26-7-2021 11:52 PM From the mobile phone | Show all posts
never give up. tawakal hanya pada Dia. insyaAllah semua baik saja.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-12-2024 05:30 AM GMT+8 , Processed in 0.046488 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list