Mercedes-Benz C300e antara model di bawah segmen EQ keluaran Mercedes-Benz.
Harian Metro
MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) merancang membawa masuk jenama di bawah segmen kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya, Mercedes-Benz EQ ke pasaran Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Claus Weidner berkata, ia bagaimanapun bergantung kepada semakan semula Dasar Automotif Nasional (NAP) membabitkan insentif dan peraturan.
Katanya, pengumuman yang sangat dinantikan peserta industri itu akan menjadi titik tolak khususnya kepada MBM untuk mempersiap diri bagi pelaksanaan EV jenama itu untuk pasaran tempatan.
"Kami menanti keputusan kerajaan mengenai EV membabitkan semakan NAP yang baharu khususnya berkaitan aspek permintaan dan kebolehlaksanaan ekonomi khususnya membabitkan kenderaan 'plug-in hybrid' (PHEV) dan EV.
"Peraturan dan insentif yang akan diumumkan kerajaan tidak lama lagi penting untuk kami menetapkan hala tuju MBM, termasuk cadangan memperkenalkan segmen EV," katanya pada sesi taklimat media secara maya, semalam.
Hadir sama, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kenderaan Penumpang MBM, Michael Jopp.
Julai tahun lalu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan sedang menyusun semula pelan tindakan dalam melaksanakan NAP 2020, bertujuan menjadikan sektor automotif negara lebih berdaya saing dan maju.
Penyusunan semula pelan tindakan itu dilihat akan membantu menyegerakan pemulihan sektor automotif negara menerusi galakan pelaburan dalam segmen kenderaan berteknologi tinggi dan mesra alam sekitar.
Semakan semula insentif berkaitan itu sudah pun dimuktamadkan dan kini menunggu kelulusan kerajaan sebelum diumumkan kelak. |