Edited by Vellfire at 30-1-2021 05:48 AM
SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk segera mencari pendekatan terbaik bagi membantu persiapan peperiksaan umum SPM dan STPM 2020 untuk pelajar setelah banyak sekolah ditutup di Sandakan susulan guru dan pelajar dikesan positif Covid-19.
Seperti dilaporkan media tempatan semalam, beliau berkata sebanyak empat buah sekolah di Sandakan iaitu SMK Elopura Bestari, SMK Batu Sapi, SMK Perempuan Sandakan dan SM St. Mary terpaksa ditutup untuk proses disinfeksi berikutan terdapat beberapa orang guru dan pelajar yang dikesan positif Covid-19. "Jumlah guru dan pelajar kita yang dijangkiti Covid-19 ini sangat membimbangkan. KPM harus mengkaji situasi ini dengan segera dan tampil dengan maklumbalas yang sesuai untuk membantu pelajar SPM dan STPM kita.
“Kita tidak lagi mampu meletakkan guru dan pelajar kita dalam keadaan berisiko lebih lagi," katanya dalam satu kenyataan media semalam. Vivian juga ada meninjau beberapa buah sekolah minggu lepas apabila sekolah dibuka semula untuk kelas dan pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM 2020.
“Meskipun saya memahami pihak sekolah mematuhi dengan seketatnya berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan semasa berada dalam kawasan sekolah, tetapi perkara ini menjadi huru-hara selepas waktu sekolah di mana apabila pelajar berada di luar sekolah berlaku perjumpaan berkumpulan di perhentian bas dan mereka berbual-bual tanpa memberi perhatian kepada jarak fizikal selain turut membuka pelitup muka mereka. “Kita juga perlu tahu, guru juga sudah terlalu tertekan dengan bebanan lebihan kerja mengajar. Justeru, kita juga tidak boleh mengharapkan guru sahaja yang memantau pelajar selepas waktu sekolah,"tambahnya.
Beliau menjaleskan November lepas, apabila KKM mengarahkan semua sekolah ditutup, jumlah kes aktif keseluruhan di negara ini hanya sebanyak 11,689 kes. “Kini, kes aktif telah mencapai 41,000 dan KPM masih mahu sekolah kita untuk diteruskan? Saya amat bersetuju dengan bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching yang menyatakan bahawa KPM harus menghentikan mengambil pendekatan ‘satu ukuran cukup untuk semua’ apabila ianya berkaitan dengan persiapan peperiksaan umum untuk pelajar kita.
“Sebagai gantinya, adalah lebih baik KPM dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) terus bekerjasama untuk menyediakan pilihan untuk pelajar memilih seperti saluran pendidikan dalam talian, yang mana ini khusus untuk pelajar yang mudah mendapatkan akses internet untuk melanjutkan pelajaran di rumah mereka," katanya.
Manakala, Vivian berkata bagi yang tidak mempunyai akses internet, mekanisma dan bantuan yang lain juga perlu difikirkan dalam sama-sama memastikan pelajar berkenaan tidak tercicir sama sekali.
kredit :utusanborneo 30Januari2021
|