Penebusan pakej ‘My30 Plus30 - Beli 1, Percuma 1’, yang dibuka semalam di Stesen LRT KL Sentral dan Hab Bas Rapid KL Pasar Seni, di sini, mendapat sambutan menggalakkan. - Foto PRASARANA
Berita Harian
Fahmy A Rosli
[email protected]
KUALA LUMPUR: Pakej My30, Plus30 - Beli 1 Percuma 1 yang dibuka semalam, mendapat sambutan baik apabila seramai 1,283 penumpang menebus pada hari pertama.
Rapid KL dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan penebusan boleh dilakukan di kiosk Sayap Timur di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KL Sentral sehingga jam 10.30 malam dan di Hab Bas Pasar Seni pula sehingga 7 malam.
"Kaunter di Hab Bas Pasar Seni bagaimanapun ditutup pada Ahad dan hari-hari cuti am, manakala di KL Sentral dibuka setiap hari," maklum Rapid KL.
Dilancarkan sebagai sokongan kepada kempen penggalakan pelancongan domestik seperti diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kempen My30 Plus30 - Beli 1 Percuma 1 untuk pembelian pas perjalanan tanpa had My30 bermula pada 21 Disember lalu sehingga 31 Mac.
Seiring kempen ini, satu baucar pas percuma My30 akan diberikan bagi setiap pembelian di mana pas percuma My30 boleh digunakan untuk pembaharuan pada bulan berikutnya.
Menurut Rapid KL, pas percuma My30 adalah berdasarkan 'siapa dulu dia dapat' terhad kepada seorang pengguna dan sekali penebusan sahaja.
"Tempoh penebusan untuk pas percuma bermula semalam dan akan tamat pada 31 Mac ini atau selepas pas percuma ke 8,333 dilunaskan," katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen berkenaan, orang ramai boleh melayari lama web rasmi Rapid KL di www.myrapid.com.my. |