Azman semakin buntu. Seolah segala permasalahan ini tiada jalan keluar. Satu persatu masalah menimpa. Tiada yang mampu diselesaikan buat masa ini. “Man, aku perlu guna duit tu. Aku harap kau boleh bayar secepat mungkin“ kata Zaki. Azman tahu, duit yang dipinjam dari Zaki itu terpaksa dibayar. Tapi sekarang ini dia tidak mampu. Perniagaannya bermasalah. Bukan hanya hutangnya pada Zaki, tetapi juga pada Malik, pada Kamal, dan beberapa rakan lagi yang membantunya selama ini. Azman tidak mampu berfikir. Perniagaan yang dibina sekian lama semakin musnah. Ramai pelanggannya telah lari. Bukan dia tidak memberikan yang terbaik kepada pelanggannya. Tapi entah kenapa, semuanya tidak menjadi. Selama ini peniagaannya agak bagus. Sejak berhenti kerja sebelas tahun lepas, perniagaan inilah yang menjadi kebanggaannya. Peniagaan inilah yang memberikan ruang untuk dia terus wujud dalam dunia ini. Perniagaan inilah yang membawa beras, susu, gula ke dapur rumahnya. Peniagaan inilah yang mewujudkan garis-garis kegembiraan di wajah isteri dan anak-anaknya. Tapi sejak pertengahan tahun lepas, semuanya merudum. Keghairahannya untuk mengembangkan perniagaannya menyebabkan dia menceburi bidang-bidang yang lain pula. Dan kerana masanya terhad, kerja pemasaran yang selama ini dilakukannya, terpaksa diserahkan kepada orang lain. Ya, Karim. Karim yang diambil kerana dia yakin Karim mampu membantunya melakukan kerja pemasaran bilamana dia perlu menumpukan segala usaha yang lain. Silapnya kerana terlalu percaya kepada orang bawahan. Dia tidak sedar selama ini bahawa Karim, pekerja yang diamanahkan untuk melakukan kerja-kerja pemasaran itu, sebenarnya adalah gunting dalam lipatan. Dia tak sedar bahawa pesaingnya telah menghantar Karim, yang dirasakannya seorang yang boleh dipercayai, untuk menjadi pekerja dalam syarikatnya. Dia tak sedar semua itu selama ini. Dia pelik. Kenapa seorang demi seorang pelanggan beralih arah. Kenapa tiada lagi jualan sepertimana semasa dia sendiri menguruskan semuanya dulu. Dan bila dia sedar, segalanya sudah terlalu lambat. Kerugian yang ditanggung terlalu tinggi. Stok barangan yang ada tidak mampu dijual. Kos semuanya meningkat. Rupa-rupanya, semua sebutharga yang diletakkan Karim kepada pelanggan, tidak cukup meyakinkan. Kerana rupanya Karim telah sengaja meletak harga yang membuatkan syarikatnya kalah dalam persaingan. Dalam kesulitan itu, dia terpaksa mencari kawan-kawan yang boleh membantunya. Kerana sikap baik kepada mereka selama ini, tiada masalah untuk mereka membantu. Namun, mereka juga bukanlah orang-orang kaya yang tidak perlukan duit. Mereka pinjamkan tabungan mereka dengan harapan bahawa Azman mampu untuk bayar balik. Sekarang, semuanya menjadi sesak. Hutang tidak mampu dibayar. Satu persatu cawangannya terpaksa ditutup. Semakin dia berusaha, semakin banyak yang menjadi penghalang. Semua pelanggan sudah tidak mahu bekerjasama dengannya. Pembekal pula sering menuntutnya untuk membayar harga barangan yang telah dibekalkan. Gaji pekerja pun perlu dijelaskan. Azman betul-betul buntu. Semua yang ada padanya seakan menghimpit dan mengasak untuk dia membuat keputusan yang dia sendiri pun tidak tahu apakah sebenarnya. Akhirnya Azman ambil keputusan. Dia pasrah. Tiada apa yang perlu dipertahankan. Secara sembunyi, dia menjual apa saja harta yang dia ada, dan memasukkan semua hasil jualan tersebut ke dalam akaun isterinya. Biarlah sekiranya apa-apa terjadi kepadanya, isterinya mampu bertahan untuk menjaga anak-anaknya. Lewat malam itu, Azman masih di pejabat. Dia mengeluarkan sehelai kertas dan menulis; "Ke hadapan isteriku, Maria yang kusayangi sepenuh jiwa dan ragaku. Pertamanya, abang meminta maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini. Ianya bukanlah sesuatu keputusan yang mudah untuk abang, tetapi dalam keadaan sekarang, ianya adalah satu-satunya jalan keluar dari segala permasalahan yang membelenggu benak ini. Dan abang tidak ingin Maria dan anak-anak menanggung beban dari permasalahan ini, Jadi lebih baik abang mengambil keputusan ini. Keduanya, abang tidak tahan untuk menangggung malu disebabkan apa yang terjadi. Dan juga abang tidak ingin Maria untuk turut sama menanggung malu itu. Biarlah abang membawa segala keresahan dan permasalahan ini bersama-sama abang buat selamanya. Maria, abang telah menjual kereta dan lori yang ada. Cuma yang tinggal adalah kereta yang abang hadiahkan kepada Maria dulu. Semua duit hasil jualan tersebut, telah abang masukkan ke akaun Maria. Gunalah duit dan kereta tersebut sebaiknya untuk memudahkan urusan Maria dan anak-anak bila abang dah tiada nanti. Maria,
Setelah abang tiada nanti, Maria bawalah anak-anak untuk balik tinggal bersama Mak. Abang yakin Mak akan faham masalahnya dan ada untuk memberi kekuatan kepada Maria bila abang telah tiada nanti. Sampaikan salam abang kepada Mak, minta ampunkan segala dosa-dosa abang kepadanya dan minta halal segala apa yang telah Mak berikan kepada abang. Didiklah anak kita sebaiknya agar mereka menjadi manusia yang berguna dan tidak mengulangi kesilapan sepertimana yang abang lalui. Maria,
Maafkan abang atas segalanya. Terima kasih kerana selama ini menjadi teman hidup abang. Menjadi penguat kepada diri abang. Kita telah lalui semuanya selama ini, namun dalam keadaan sekarang, abang terlalu lemah untuk meneruskannya lagi. Maafkan abang, Maria. Sampaikan salam abang kepada anak-anak juga. Abang tidak sanggup melihat mereka menjadi mangsa kepada segalanya ini. Maria,
Selepas ini, Maria mulakanlah hidup yang baru. Sekiranya ada orang yang ingin menjaga Maria dan anak-anak, Maria terima lah dia. Semoga kehidupan Maria selepas ini akan menjadi lebih baik dari sekarang. Ikhlas,
Suamimu Azman." Azman melipat surat tersebut perlahan-lahan dan memasukkan kedalam sampul surat. Dia lantas memasukkan kedalam beg plastic dan bangkit untuk keluar dari pejabatnya, mengunci semua pintu dan bergerak ke motorsikal yang diletakkan berhampiran. Setelah itu, Azman menghidupkan enjin motorsikal dan menghalakan perjalanan ke arah laluan rumahnya. Dalam perjalanan, dia melalui jambatan yang menghubungkan bahagian barat dan bahagian timur bandar kediamannya. Setiap hari akhir-akhir ini, fikirannya terarah ke situ dan malam ini, mungkin segalanya akan berakhir di situ. Apabila sampai di tengah-tengah jambatan, Azman memberhentikan motorsikalnya. Dia meninggalkan motorsikalnya dengan surat yang telah ditinggalkannya dalam bakul motorsikalnya dan perlahan-lahan menghampiri pagar jambatan. Lama dia di situ, memerhatikan arus air yang agak laju mengalir di bawah jambatan. Semuanya kelihatan keliru baginya. Tiada kesudahan. Azman memanjat pagar jambatan dan duduk di atasnya serta meletakkan kaki pada paip air yang merintang seiring dengan jambatan tersebut. Masih berfikir. Apakah betul apa yang akan dilakukannya ini. Hati meronta-ronta ingin menamatkan segalanya. Tapi jiwanya masih celaru. Apakah ini terbaik untuknya? Untuk keluarganya? Sedetik pun tidak goyah perasaan kasih sayang terhadap keluarganya. Dia resah. Berpeluh-peluh. Ini keputusan yang bukan senang. Biarpun sedari tadi, hatinya tekad, namun sekarang berbagai pertanyaan ada dalam benaknya. Semua persoalan yang ada kini kembali memenuhi benaknya. Tidak satu persatu tapi semuanya sekaligus. Bisikan naluri jahat mendorong Azman untuk terus melakukannya. Namun satu suara kecil dalam dirinya menghalang. Membawa dia mengingati segalanya kembali. Kegembiraan yang pernah dilalui, keluarga yang menyayangi, sahabat yang sentiasa di sisi dan segalanya seakan membuka satu ruang yang baru dalam pemikirannya. Azman tersedar. Allah, betapa jauh hatinya tersasar. Sampai dia lupa kepada segalanya. Hanya mencari jalan keluar dari segala kemelut, walaupun ternyata bukan terbaik untuknya.
Azman rasa bersalah. Dia ingin pulang. Ingin kembali pada semuanya yang dia ada. Ingin mencari jalan keluar yang lebih baik. Ingin memeluk anak-anaknya. Ingin mengatakan betapa dia sayangkan isteri dan anak-anaknya. Dia tak ingin ambil jalan ini untuk menamatkan semuanya. Dia yakin, ini bukan jalan terbaik. Dia yakin. Azman cuba untuk bangun dari duduknya di atas pagar jambatan itu. Namun malang nasibnya. Kakinya tersilap pijak pada paip dan tergelincir. Kepalanya sedikit terhantuk pada bingkai jambatan. Walaupun dia cuba berpaut pada sisi jambatan, tapi tangannya tidak kuat dan terlepas jatuh ke bawah. Ke dalam arus yang sedang laju. Dia meronta. Dia ingin naik semula tetapi arus itu semakin meraja. Arus itu membawa dia tenggelam dan terus tenggelam. Air itu dengan rakus memenuhi rongganya, memenuhi paru-parunya sehingga dia tidak mampu untuk bernafas lagi. Dia lemas. Hilang semuanya. Satu persatu lenyap dari dirinya. Dia takkan kembali. Takkan kembali lagi. Esoknya, setelah dicari kerana tidak pulang ke rumah, orang ramai menemui motorsikalnya dengan surat yang ditulis oleh Azman buat isterinya. Pihak berkenaan lantas menggerakkan usaha mencari. Jasadnya yang dipenuhi air telah dijumpai tidak lama kemudian. Hancur luluh perasaan keluarganya bila mendapat tahu. Hilang segala kewarasan di jiwa isterinya terutama bila membaca surat yang ditinggalkan Azman.
Masyarakat mula berbicara tentang kematiannya. Ada yang mencemuh, ada yang mengejek dan ada yang melontarkan tanggapan-tanggapan liar. “Mesti dia ni kurang iman, kalua orang beriman takkan buat perkara sebegini” tutur sebahagian dari mereka. "Walau besar mana pun masalahnya, takkan sampai ambil jalan mudah untuk bunuh diri. Kurang akal ke dia ni?“ tokok yang lain pula. "Dia ni mesti masuk neraka. Orang bunuh diri takkan boleh masuk syurga“ ada yang lain pula menyampuk seolah kunci syurga neraka itu berada di tangannya. Mereka semua lupa. Mereka sebenarnya tak tahu bahawa mereka tak pernah tahu dan mungkin tidak akan tahu cerita yang sebenarnya. Mereka lupa bahawa semuanya ini, hanya Tuhan yang tahu……
|