Edited by mbhcsf at 20-10-2016 05:02 AM
IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-8: ILMU USUL AL-FIQH DI SISI ULAMA HADISWritten by Muhammad Fahmi Rusli. Mukadimah
Baru-baru ini, di antara tajuk yang dikupas oleh pembentang di dalam seminar ‘Home of Hadith’ adalah berkenaan dengan ilmu usul fiqh di sisi ahli hadis. Kita semua tahu bahawa ulama feqh tidak semestinya merupakan seorang ulama di dalam bidang hadis, dan begitulah juga sebaliknya. Ini sebagaimana yang disebut oleh Imam al A’masy Rahimahullah: يَا مَعْشَرَ الفُقَهَاء أَنْتُمْ الأَطِبَّاء وَنَحْنُ الصَّيَادِلَة Maksudnya: Wahai para fuqaha, kalian adalah para doktor dan kami merupakan ahli farmasi. Rujuk Nasihah ahl-Hadis, al-Khatib al-Baghdadi(1/45).
Berdasarkan kata-kata di atas, dapatlah kita tahu bahawa pengkhususan kedua-duanya di antara para fuqaha dan ulama hadis adalah berbeza. Para fuqaha ibarat doktor yang merawat pesakit. Manakala para ulama hadis ibarat pakar farmasi yang menentukan ubat-ubatan yang sesuai untuk diberikan kepada pesakit. Sebagaimana kesan buruk akan menimpa pesakit apabila tersilap menerima ubat, demikian jugalah kesan fatwa yang akan terhasil apabila hadis-hadis yang bermasalah dijadikan sebagai sumber dalam mengeluarkan hukum. Sebahagian orang beranggapan bahawa para ulama hadis tidak memahami bahkan tidak pakar di dalam ilmu usul fiqh. Persoalannya, adakah kenyataan ini tepat atau sebaliknya ? Justeru, di dalam Irsyad Usul al-Fiqh siri ini, kami akan mengulas isu ini dengan lebih lanjut.
Ulama Hadis Memiliki Mazhab Tersendiri Di antara perkara yang tidak dapat dinafikan, di sana terdapat para ulama besar di dalam bidang hadis yang memiliki mazhab feqh yang tersendiri. Mazhab-mazhab mereka, ada yang masih kekal sehingga kini dan ada juga yang tidak kekal dan tidak dikembangkan oleh para pengikutnya. Namun pendapat-pendapat mazhab tersebut tidaklah hilang, akan tetapi ia tetap disebutkan di dalam kitab-kitab feqh yang muktabar. Di antara contoh ulama hadis yang memiliki mazhab tersendiri adalah:
1- Imam Malik Bin Anas (W. 179 H) Imam Malik bin Anas rahimahullah terkenal sebagai ulama yang mempelopori madrasah ahli hadis. Sebagaimana yang kita tahu, aliran ini sangat berpegang kuat dengan hadis-hadis dan athar dari Nabi S.A.W dalam mengeluarkan sesuatu pendapat dan juga hukum. Mereka tidak mendahulukan qiyas atau pendapat rasional ke atas hadis-hadis. Walaupun begitu, itu bukanlah bermakna Imam Malik tidak menguasai dan pakar berkenaan ilmu feqh. Bahkan beliau merupakan seorang mujtahid mutlak dan pemilik mazhab feqh yang masyhur.
Dr. Abdul Karim Zaidan rahimahullah mendefinisikan mujtahid sebagai: “Seseorang yang memiliki kemampuan untuk berijtihad. Iaitu kemampuan untuk mengistinbat hukum-hakam syarak yang bersifat amali daripada dalil-dalilnya yang tafsili”. Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, Dr. Abd al-Karim Zaidan. Hlm. 402. Berdasarkan definisi di atas, dapatlah kita fahami bahawa Imam Malik juga merupakan seorang ulama feqh yang menguasai ilmu usul feqh dengan baik sekalipun beliau terkenal sebagai tokoh aliran ahli hadis.
|